LOKASI kejadian kemalangan maut seorang pengawal keselamatan, Masazlan selepas kenderaan dipandunya terbabas di Jalan Pekeliling menghala Tanjung Langsat, Pasir Gudang. FOTO ihsan PDRM
LOKASI kejadian kemalangan maut seorang pengawal keselamatan, Masazlan selepas kenderaan dipandunya terbabas di Jalan Pekeliling menghala Tanjung Langsat, Pasir Gudang. FOTO ihsan PDRM
Mohd Sabran Md Sani


PERJALANAN seorang pengawal keselamatan ke sebuah klinik di sini, berakhir dengan tragedi apabila kenderaan dipandunya terbabas berhampiran Jalan Pekeliling menghala Tanjung Langsat di sini.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari semalam, mangsa, Masazlan Maswan, 53, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit di tempat duduk pemandu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah berkata, hasil siasatan awal mendapati kenderaan dipandu mangsa dalam perjalanan dari tempat kerjanya di Jalan Keluli di sini.

“Mangsa dipercayai memandu keretanya menuju klinik di Kampung Pasir Putih.

KERETA Masazlan remuk di bahagian hadapan dalam kemalangan terbabit. FOTO ihsan PDRM
KERETA Masazlan remuk di bahagian hadapan dalam kemalangan terbabit. FOTO ihsan PDRM

“Sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal keretanya lalu terbabas ke kiri jalan dan melanggar longgokan tanah di bahu kiri jalan,” katanya.

Menurutnya, kemalangan mengakibatkan kenderaan berkenaan terbalik dan terseret beberapa meter di tempat kejadian.

Katanya, mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu dibawa keluar dengan bantuan anggota bomba dan penyelamat.

“Malangnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh anggota perubatan dari Klinik Kesihatan Pasir Gudang yang tiba untuk memberikan rawatan kecemasan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Julai 2019 @ 7:00 AM