YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
BERNAMA

LATIHAN ketenteraan di Akademi Tentera Diraja Sandhurst (RMAS), England menggilap dan menyerlahkan lagi keperibadian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai seorang pemimpin dan individu berdisiplin tinggi.

“Walaupun berdarah raja, Sultan Abdullah sentiasa belajar mendisiplinkan diri dengan corak dan kehidupan seorang anggota tentera, khususnya daripada keterampilan diri dan akur dengan setiap arahan,” kata bekas Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zulkiple Kassim.

Zulkiple, yang juga penuntut senior ketika Sultan Abdullah menjalani latihan di RMAS pada 1978-1979 berkata, Seri Paduka bukan saja terkenal dengan keperibadian seorang pemimpin, bahkan seorang individu yang prihatin terhadap rakan-rakan.

Mengimbas keperibadian Sultan Abdullah, Zulkiple berkata: “Ketika itu saya senior dan baginda pula junior yang lebih mesra dikenali ketika itu sebagai Tengku Mahkota atau TM. Walaupun berdarah raja, namun beliau merendah diri dan sentiasa ingat belajar mendisiplinkan diri dengan corak ketenteraan, termasuk daripada segi pakaian dan kebersihan kasut.

“Daripada sikap disiplin itu, lahirlah peribadi prihatin, peka dan ketegasan baginda. Walaupun ketika itu baru berusia 18 tahun, baginda sentiasa mengambil berat masalah rakan sekolej seperti daripada segi kewangan
dan kesihatan. Di situlah bermulanya hubungan keakraban kami,” katanya dalam satu temubual sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai ini.

KEPERIBADIAN Al-Sultan Abdullah yang prihatin masalah sentiasa mendapat tempat di hati rakyat.
KEPERIBADIAN Al-Sultan Abdullah yang prihatin masalah sentiasa mendapat tempat di hati rakyat.

Zulkiple berkata, Sultan Abdullah juga tidak pernah menggunakan status anak raja untuk bermegah atau memberi arahan tertentu, sebaliknya akan sentiasa menyesuaikan diri dengan keadaan dan persekitaran.

“Rakan sekeliling di kolej juga tidak mengambil kesempatan terhadap statusnya, malah sentiasa membantu baginda dalam memberi kata-kata semangat dan sokongan untuk menyiapkan pelbagai latihan yang diberi, tanpa mengharapkan sebarang bentuk balasan,” katanya yang menjalani latihan sebagai pegawai kadet pada 1977-1978.

Mengimbau latihan di RMAS, sebuah akademi tentera diraja yang tertua dan dianggap antara akademi ketenteraan terbaik di dunia, Zulkiple berkata, sikap prihatin yang lain adalah baginda sentiasa akan meminta pendapat dan nasihat daripada senior atau rakan selatihan, sebelum memulakan latihan supaya tidak tersilap langkah atau didenda komander bertugas.

Beliau berkata, keterampilan Sultan Abdullah semakin terserlah apabila dijadikan rujukan pegawai kadet lain dalam menguruskan diri dan berjaya dalam setiap latihan yang diberikan, sekali gus menyerlahkan sikap kepemimpinan.

“Ketika itu, kami 10 rakyat Malaysia sahaja yang sama-sama berlatih dan rapat di antara satu sama lain, termasuk meluangkan masa di luar waktu latihan dan berhubung di tanah air, sekembalinya dari tamat latihan kira-kira setahun di sana.

 SERI Paduka Baginda tidak lokek dalam menghulur bantuan.
SERI Paduka Baginda tidak lokek dalam menghulur bantuan.

“Menariknya, Seri Paduka Baginda tidak lupa akan kami dan kerap berhubung secara peribadi, diajak makan, berbuka puasa, menghadiri perkahwinan dengan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan lain-lain lagi,” katanya.

Zulkiple berkata, Sultan Abdullah juga mengambil berat dengan masalah kesihatan dialami rakannya, termasuk arwah Kolonel Azman Mat Salleh, antara rakan sekolej Akademi Tentera Diraja, Sandhurst dulu sewaktu sakit, hingga ke saat-saat terakhir sebelum kematian.

“Sewaktu arwah Azman sakit, baginda sering bertanyakan khabar dan menziarah termasuk di hospital selain memberi penghormatan terakhir. Baginda tidak lupa akan masalah dihadapi rakan-rakan,” katanya.

Zulkiple, yang berkhidmat selama 42 tahun dalam Tentera Darat dan bersara wajib pada 2018 berkata, Sultan Abdullah mendapat pendidikan dan pembinaan karakter yang terbaik, dalam mempersiapkan dirinya menjadi pembesar negeri dan sebagai ketua utama negara.

“Saya percaya sikap keperibadian baginda yang prihatin bukan sahaja kepada rakan-rakan, malah kepada rakyat kerana baginda seorang yang jujur, menjadi dirinya sendiri baik di depan mahupun belakang rakyat, tidak berpura-pura dan boleh menyesuaikan diri dengan apa jua keadaan. Itu kelebihan Sultan Abdullah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 6:20 AM