GOBIND (tiga dari kanan) bersama Hasnul Zulkarnain (empat dari kanan) melihat kanak-kanak bermain permainan robotik selepas Majlis Perasmian Kembara Digital Malaysia 2019, di Bulatan Sultan Azlan Shah, Ipoh, hari ini. FOTO Muhaizan Yahya.
GOBIND (tiga dari kanan) bersama Hasnul Zulkarnain (empat dari kanan) melihat kanak-kanak bermain permainan robotik selepas Majlis Perasmian Kembara Digital Malaysia 2019, di Bulatan Sultan Azlan Shah, Ipoh, hari ini. FOTO Muhaizan Yahya.
Farah Suhaidah Othman


TELEKOM Malaysia Berhad (TM) hari ini mengumumkan pengguna Streamyx bakal menikmati Internet berkelajuan sehingga RM8Mbps dengan tawaran harga serendah RM89 sebulan manakala pelanggan sedia ada menikmati tawaran itu serendah RM69 bermula September ini.

Pengumuman itu dibuat Pengerusi Kumpulan TM, Rosli Man sebagai penyelesaian kepada gesaan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo yang meminta syarikat telekomunikasi itu menyelesaikan pelbagai aduan rakyat berhubung perkhidmatan Internet termasuk tidak menepati kelajuan memuaskan selain harga terlalu tinggi.

Rosli berkata, pihaknya hari ini menyerahkan pelan kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membantu 934,000 pengguna Streamyx di seluruh negara memperluas liputan dan kualiti Internet.

“Hari ini, kami mengumumkan pengimbangan semula tarif kepada pelanggan Streamyx yang selama ini setia dengan TM, jadi pengguna sedia ada akan menikmati pakej baru pada harga RM69 sebulan dengan data berkelajuan sehingga RM8Mbps.

“Bagi pelanggan baharu mahu menggunakan Streamyx berkelajuan 8Mbps pula akan menikmati tawaran harga RM89,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Kembara Digital Malaysia 2019 di Bulatan Sultan Azlan Shah di Ipoh, hari ini.

Program berkenaan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan turut dihadiri Gobind.

Rosli berkata, bagi mengatasi kekangan jalur lebar perkhidmatan itu, TM menggunakan rangkaian tembaga menerusi pelbagai teknologi hibrid termasuk fiber, ‘wireless’ dan ‘Gigawire’ yang dilaksanakan secara berperingkat bermula hari ini hingga 2021.

“Dijangkakan, sebanyak 70 peratus daripada kumpulan pelanggan ini akan dapat menikmati perkhidmatan berkenaan menjelang akhir tahun depan.

“Dulu, pelanggan Streamyx mengadu mereka bayar mahal tapi tidak mendapat kelajuan Internet tinggi dan kita cari penyelesaian terbaik dengan menaik taraf kelajuan Internet lebih tinggi dalam tempoh setahun hingga setahun setengah,” katanya.

Sementara itu, Gobind berkata, kementeriannya memandang serius dalam memastikan infrastruktur jaringan jalur lebar dinikmati semua rakyat dengan mengumumkan beberapa strategi termasuk Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP).

“Sasaran kita untuk memastikan 98 peratus daripada rakyat Malaysia mempunyai akses Internet dan bagi memastikan perkara itu, kita adakan pelbagai program untuk menunjukkan kepada rakyat cara menggunakan Internet dalam kehidupan seharian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Julai 2019 @ 3:59 PM