RASHIDI bersama bukunya ‘Monolog Budak Buta’. FOTO Ihsan Rashidi Abdullah.
RASHIDI bersama bukunya ‘Monolog Budak Buta’. FOTO Ihsan Rashidi Abdullah.
Redzuan Muharam


“BUKU itu ibarat pengganti skrol diploma dan ijazah serta pengubat kekecewaan saya yang tidak berpeluang menyambung pengajian ke menara gading,” kata Rashidi Abdullah.

Rashidi, orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan kerana glaukoma atau kerosakan saraf mata dan kini aktif sebagai penceramah jemputan di penjara dan sekolah.

Pemuda berumur 28 tahun itu juga seorang penulis buku bertajuk ‘Monolog Budak Buta’ yang dilancarkan di Kompleks Persatuan Orang Buta Malaysia (MOB), Oktober tahun lalu.

Bercerita lanjut, Rashidi berkata, buku itu diterbitkan sebagai salah satu usahanya untuk keluar daripada zon selesa dan ia mengandungi karya puisi serta mengisahkan perjalanannya sebagai OKU.

“Buku itu diterbitkan hasil sumbangan daripada orang ramai dan saya mengambil masa selama setahun untuk menyiapkannya iaitu bermula 2017.

“Ia tidak dijual di kedai buku sebaliknya saya menjualnya sendiri kepada sesiapa yang berminat dan setakat ini, banyak maklum positif diterima.

“Ini baru permulaan dan diharap, ada lagi peluang untuk saya berkarya pada masa akan datang bagi membuktikan kemampuan diri,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.

Menceritakan latar belakangnya, Rashidi berkata, kecacatan dialaminya berpunca akibat pengambilan ubat mengandungi steroid secara tidak terkawal hingga penglihatannya jadi kabur dan kini hanya dapat melihat pada tahap 20 peratus saja.

Rashidi berkata, berat hatinya untuk menerima hakikat itu tetapi dia akhirnya akur dan berterima kasih kepada Persatuan Siszwazah Wanita Malaysia (PSWM) yang memberinya peluang menjadi penceramah jemputan bagi berkongsi pengalaman sebagai OKU cacat penglihatan.

“Saya disahkan menghidap glaukoma ketika berumur 17 tahun dan pemeriksaan dilakukan mendapati penyakit itu berpunca daripada penggunaan ubat mengandungi steroid secara tidak terkawal.

“Keadaan itu menjadikan saya murung lebih-lebih lagi kerana tidak dapat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan bertambah sedih selepas melihat rakan seusia menyambung pengajian ke universiti .

“Hingga satu tahap, saya tidak dapat menerima kenyataan apabila diminta membuat permohonan kad OKU sehingga dipujuk keluarga untuk berbuat demikian.

“Namun, segalanya berubah selepas saya ditawarkan menyertai MAB bermula dengan mengikuti program pemulihan selama enam bulan sebelum menimba pengalaman bekerja sebagai juruterapi berbekalkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap tiga yang dimiliki.

“Selepas setahun enam bulan, saya mencari pengalaman baru dengan menerima tawaran PSWM sebagai penceramah jemputan menerusi program jelajah Kau Sumber Inspirasiku sejak 2015,” katanya.

Menurut Rashidi, antara cabaran dilaluinya adalah meyakinkan masyarakat bahawa dirinya adalah seorang OKU.

Katanya, keadaan itu mungkin berlaku kerana zahirnya, dia kelihatan seperti individu normal dan tidak menggunakan tongkat.

“Pernah juga saya menggunakan tongkat tetapi status saya tetap diragui dan akhirnya, saya nekad menjadi diri sendiri dengan berjalan seperti biasa walaupun dengan penglihatan yang terhad.

“Saya tidak menyalahkan mereka cuma keadaan itu menyebabkan saya hilang keyakinan pada peringkat awal tetapi kini, saya sudah lali.

“Malah, apa yang berlaku (kecacatan) menjadikan saya lebih bersyukur dan menghargai nikmat kurniaan Allah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 9:30 PM