ANGGOTA bomba berusaha memadamkan kebakaran tiga kilang di Taman Perindustrian Pulau Indah. FOTO  ihsan Bomba
ANGGOTA bomba berusaha memadamkan kebakaran tiga kilang di Taman Perindustrian Pulau Indah. FOTO ihsan Bomba
Nur Lela Zulkipli


TUJUH anggota bomba cedera termasuk dua dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) ketika memadamkan kebakaran di tiga kilang termasuk kilang racun rumpai di Pulau Indah, semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Selangor, Norazam Khamis berkata, hanya dua anggota yang masih dirawat di hospital manakala empat lagi anggotanya mendapat rawatan pesakit luar.

“Ketika kejadian, terdapat letupan daripada bahan yang terbakar sebelum berlaku sedikit runtuhan dan serpihan batu menimpa seorang mangsa manakala empat anggota lain mengadu berasa berdegung di telinga.

“Seorang lagi anggota terjatuh ketikamengalihkan hos. Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang, Mohd Faizzuan Ayob mengalami kecederaan di kaki manakala anggota BBP Pelabuhan Klang, Muhammad Ridzuan Kamaruzaman melecur di telinga selain muntah selepas dipercayai terhidu gas beracun dan mengalami gejala pening.

“Lima lagi anggota lain, Mohammad Hazreen Mazlan; Mohammed Wahyuddin MohdSaibani; Mohammad Izwan Salleh; Ahmad Ridzwan Awang dan Mohd Shahrul Azuan Salleh, semuanya diberikan cuti sakit dan membuat pemantauan sendiri di rumah,” katanya.

Beliau berkata, dua anggota yang dirawat di hospital juga dalam proses untuk keluar wad.

Norazam berkata, anggota terbabit adalah antara 60 anggota dan pegawai yang terbabit dalam pemadaman kebakaran berkenaan.

Katanya, pihaknya menerima panggilan pada 5.37 petang semalam membabitkan kebakaran tiga kilang di kawasan perindustrian di Pulau Indah, Pelabuhan Barat.

“Anggota dari lima BBP memadamkan kebakaran berkenaan dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Bomba Westports, Polis Westports, Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Setibanya di lokasi kejadian, pasukan kami mendapati kebakaran membabitkan tiga kilang kelas A berkeluasan 5,574 meter persegi.

“Sebuah kilang terbakar 100 peratus manakala dua buah lagi masing-masing terbakar kira-kira 50 peratus. Kebakaran dapat dikawal daripada merebak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 2:58 PM