DE Paula (kiri) dan Krasniqi. FOTO arkib NSTP
DE Paula (kiri) dan Krasniqi. FOTO arkib NSTP
Manan Samad dan Firdaus Hashim dan Syazwan Msar


SKUAD Harimau Malaya bakal diperkuatkan dengan kehadiran dua pemain naturalisasi pada kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 tahun depan.

Dua pemain berkenaan adalah bekas pemain Melaka United, Liridon Krasniqi atau Mat Don dan penyerang sensasi Kuala Lumpur, Guilherme De Paula.

Perkara itu disahkan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang berpendapat kehadiran dua pemain terbabit bakal menyelesaikan masalah ketumpulan barisan serangan skuad Harimau Malaya. Beliau berkata, perbincangan sudah dilakukan bersama dua pemain terbabit dan penyokong skuad kebangsaan bakal melihat dua aksi pemain terbabit pada perlawanan antarabangsa 2020.

“Sekarang ini, FAM hanya menunggu kelulusan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan sebaik perkara itu selesai, dua pemain ini boleh beraksi bersama skuad kebangsaan.

“Kami memilih dua pemain berkenaan kerana mampu memenuhi kriteria yang ditetapkan dan ia juga antara perancangan dalam masa terdekat bagi memperkuatkan skuad Harimau Malaya menerusi pengambilan pemain naturalisasi.

“Jika melihat kepada pasukan kebangsaan lain seperti Sepanyol, Perancis dan Qatar, mereka juga mengambil pemain naturalisasi bagi memperkuatkan skuad kebangsaan masing-masing sehingga mampu peroleh kejayaan,” katanya dalam temubual eksklusif bersama Arena Metro, di Wisma FAM, di sini, semalam.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan skuad kebangsaan bakal diperkuatkan lagi dengan kehadiran pemain naturalisasi sekali gus menyelesaikan masalah di beberapa posisi pasukan.

Untuk rekod, pemain kelahiran Gambia, Mohamadou Sumareh yang beraksi dengan pasukan Pahang adalah pemain naturalisasi pertama negara selepas disenaraikan ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe.

Undang-undang FIFA menyatakan seseorang pemain boleh mewakili negara berbeza selepas berumur 21 tahun dengan syarat belum mewakili negara asal di peringkat senior.

Liridon dan De Paula memenuhi kriteria ditetapkan, sekali gus melayakkan mereka mewakili skuad kebangsaan sebagai pemain naturalisasi.

Malah, De Paula sebelum ini pernah menyarung jersi pasukan Pilihan Malaysia pada 2015 ketika menentang kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) Tottenham Hotspur dalam siri jelajah pramusim yang menyaksikan skuad Dollah Salleh ketika itu tewas 1-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2019 @ 5:45 AM