Tuan Asri Tuan Hussein


GAZA: “Sudah 14 tahun saya terbabit dalam pelbagai misi kemanusiaan dan berpengalaman berada di banyak kawasan konflik, tapi misi kali ini saya anggap paling mencabar serta mendebarkan.”

Itu kata Presiden Muslim Care Malaysia, Zulkifli Wahijan kepada saya beberapa minit selepas sebutir bom meletup hanya kira-kira 50 meter dari hotel penginapan kami di pinggir pusat bandar Gaza, Palestin pada 5 Mei lalu.

Kejadian berlaku pada kira-kira jam 6.30 pagi. Ketika itu saya baru mencapai iPad sambil menatap gambar serta catatan di dalam telefon bimbit sebagai persediaan untuk menulis berita bagi dihantar kepada rakan sekerja di Kuala Lumpur.

PENULIS (kiri) dan wakil NGO Malaysia termasuk Zulkifli (tiga dari kanan) bergambar bersama pemimpin Pertubuhan Hamas, Ismail Haniyeh ketika melakukan kunjungan hormat ke kediamannya .
PENULIS (kiri) dan wakil NGO Malaysia termasuk Zulkifli (tiga dari kanan) bergambar bersama pemimpin Pertubuhan Hamas, Ismail Haniyeh ketika melakukan kunjungan hormat ke kediamannya .

Itulah rutin saya selepas tiga hari berada di Gaza ketika itu. Selepas selesai solat Subuh kira-kira jam 5 pagi, saya berehat sekejap sebelum mula menulis berita dan ia wajib siap sebelum jam 9 pagi kerana lazimnya pada waktu itu van bertolak meninggalkan hotel untuk kami menjalankan pelbagai aktiviti dirancang.

Saya, Zulkifli dan timbalannya, Johari Ismail, berada di Gaza sebagai peserta misi kemanusiaan Miles of Smiles yang membabitkan 41 sukarelawan dari sembilan negara iaitu Malaysia, Indonesia, Jordan, Kuwait, United Kingdom, Sweden, Afrika Selatan, Algeria dan Belanda.

Sebenarnya, letupan bom yang memecahkan kaca dinding dan tingkap serta meruntuhkan sebahagian siling beberapa bilik di hotel kami adalah kemuncak kepada siri dentuman bom yang sudah berlarutan kira-kira 36 jam sebelum itu.

Kami tiba di bumi Gaza pada jam 11.20 malam Khamis, 2 Mei lalu selepas menempuh perjalanan darat selama 16 jam dari Mesir, biarpun jaraknya cuma lebih kurang 300 kilometer.

KUALA LUMPUR 17 MEI 2019 Rombongan Muslim Care berbuka puasa bersama penduduk tempatan. NSTP/EMAIL.
KUALA LUMPUR 17 MEI 2019 Rombongan Muslim Care berbuka puasa bersama penduduk tempatan. NSTP/EMAIL.

Perjalanan kami berdepan tidak kurang 10 sekatan jalan raya dan pemeriksaan, selain karenah birokasi yang merumitkan di pusat kawalan imigresen Mesir dekat sempadan Mesir-Palestin di Rafah.

Keesokan hari kami menyertai perhimpunan Great March of Return (GMR) di Malakah yang menjadi acara mingguan bagi penduduk dan pejuang Palestin sejak ia kali pertama diadakan pada 30 Mac tahun lalu.

Perhimpunan protes dan lazimnya berselang seli dengan pertempuran itu diadakan di lima lokasi di sepanjang sempadan Palestin-Israel dan setakat ini meragut lebih hampir 300 nyawa dan mencederakan ribuan rakyat Palestin.

Rupa-rupanya, selepas kami meninggalkan kawasan itu tercetus pertempuran di antara peserta perhimpunan dengan tentera Israel yang mengakibatkan seorang tentera Israel mati akibat ditembak pejuang Palestin.

Insiden itulah yang membawa kepada tercetusnya serangan terbaru tentera Israel ke bumi Gaza bermula jam 9 malam pada 3 Mei lalu, sekali gus menghadirkan pengalaman penuh bermakna bagi saya, Zulkifli dan peserta misi Miles of Smiles yang lain.

PEMUDA Palestin di Khan Younis gembira apabila Muslim Care Malaysia membina sebuah gelanggang futsal untuk mereka.
PEMUDA Palestin di Khan Younis gembira apabila Muslim Care Malaysia membina sebuah gelanggang futsal untuk mereka.

Saya dan Zulkifli sebelum ini pernah memasuki kawasan konflik di Idlib, utara Syria pada 2014 dan ketika itu bunyi tembakan senjata api serta dentuman bom turut kedengaran dari tempat penginapan kami.

Bagaimanapun, apa yang kami lalui di Gaza kali ini lebih mendebarkan. Bunyi letupan bom bersahutan selang 15 minit, setengah jam atau paling lama satu jam. Ia berlaku kira-kira 36 jam dari jam 9 malam Jumaat 2 Mei sebelum berakhir pada pagi Ahad.

Sepanjang tempoh itu, kami peserta misi tidak dibenarkan sama sekali keluar dari hotel. Di bilik hotel, kami banyak melayan perasaan. Nak tidur pun susah, sebab selalu terkejut dengan bunyi bom yang ‘beraneka ragam.’

PENULIS dan sukarelawan Muslim Care Malaysia melawat rumah penduduk miskin di Gaza yang hanya diperbuat daripada bahan terbuang
PENULIS dan sukarelawan Muslim Care Malaysia melawat rumah penduduk miskin di Gaza yang hanya diperbuat daripada bahan terbuang

Ada yang macam bunyi mercun, guruh dan kadang-kala bangunan hotel bergegar macam gempa bumi. Ada ketikanya pula, kami dikejutkan dengan bunyi seperti deruman enjin jet pejuang dan selepas itu kami diberitahu itu sebenarnya bunyi roket peluru berpandu yang dilancarkan pejuang Palestin ke arah Israel.

Memang kecut perut mendengar semua bunyi itu tapi di sebalik debaran dan ketakutan yang dirasakan, kami akhirnya menyedari itulah anugerah istimewa Allah kepada kami.

Kami ke Palestin dengan niat membantu rakyat Palestin. Kami ingin menyelami perit getir kehidupan mereka yang diibarat terkurung dalam sebuah penjara dan sentiasa ditindas rejim zionis Israel.

Nah..itulah yang Allah berikan kepada kami. Baru 36 jam terkurung dan diuji dentuman bom Israel, kami sudah kecut perut sedangkan rakyat Palestin sudah puluhan tahun merasai derita itu sejak Israel mula menjajah tanah air mereka pada 1948.

Zulkifli berkata, untuk misi ke Gaza kali ini Muslim Care Malaysia memperuntukkan RM200,000 hasil sumbangan rakyat Malaysia untuk disalurkan kepada penduduk Palestin.

Menurutnya, orang ramai boleh terus menyalurkan sumbangan kepada Muslim Care Malaysia melalui nombor akaun Maybank (564490413882), BIMB 14014010147470) dan Bank Muamalat ( 14010007654717).

“Wang itu kami gunakan untuk majlis berbuka puasa, sumbangan kepada keluarga miskin, bantuan untuk perubatan dan pendidikan, pembinaan gelanggang futsal, pembinaan jalan berturap untuk kegunaan orang kurang upaya serta melengkapkan sebuah perpustakaan di Khan Younis,” katanya.

Selain itu, kata Zulkifli, pihaknya turut menziarah dan memberi sumbangan wang tunai kepada tiga keluarga syuhada iaitu keluarga bekas pemimpin Hamas, Syeikh Ahmad Yasin, anggota paramedik yang ditembak tentera Israel ketika bertugas, Razan An Najar dan pelajar tahfiz berusia 13 tahun, Muhammad Naser.

“Rakyat Malaysia perlu terus membantu rakyat Palestin kerana kini majoriti daripada dua juta penduduk negara itu tidak mempunyai pekerjaan, kekurangan bekalan air bersih, bekalan elektrik dicatu dan stok bekalan ubat, makanan
serta keperluan harian juga semakin berkurangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2019 @ 6:15 AM
ASAP berkepul sejurus sebutir bom meletup pada jarak cuma 50 meter dari hotel penginapan peserta Miles of Smiles. FOTO: Tuan Asri Tuan Hussein
ASAP berkepul sejurus sebutir bom meletup pada jarak cuma 50 meter dari hotel penginapan peserta Miles of Smiles. FOTO: Tuan Asri Tuan Hussein