Nurul Hidayah Bahaudin


SEBUAH mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di bangunan Wisma UNIKEB berhampiran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi cuba dipecahkan menggunakan bahan letupan oleh dua lelaki, malam tadi.

Dalam kejadian itu, mesin ATM berkenaan cuba diletupkan sebanyak dua kali oleh penjenayah yang memakai topeng ski.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu menerusi anggota polis bantuan di wisma berkenaan pada 8.07 malam tadi.

“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi didapati dua suspek memasuki kawasan terbabit dengan menaiki sebuah kereta pada 7.53 malam.

“Sebaik memasuki premis itu, mereka dilihat cuba memecahkan mesin ATM berkenaan menggunakan bahan letupan tetapi gagal.

“Malah, cubaan kedua mereka pada 7.55 malam juga gagal sebelum suspek dilihat beredar dari kawasan terbabit pada 7.57 malam,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Lokasi mesin ATM yang diletupkan dua suspek di Wisma UNIKEB berhampiran UKM, Bangi. Foto Aizuddin Saad dan Nurul Hidayah Bahaudin
Lokasi mesin ATM yang diletupkan dua suspek di Wisma UNIKEB berhampiran UKM, Bangi. Foto Aizuddin Saad dan Nurul Hidayah Bahaudin

Ahmad Dzaffir berkata, mesin ATM dan ruang menempatkan mesin berkenaan rosak kerana kejadian itu.

“Kami belum dapat mengenal pasti jenis bahan letupan yang digunakan suspek dalam kejadian ini kerana masih menunggu Unit Pemusnah Bom (UPB) memeriksa lokasi,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan khianat dengan api atau bahan letupan dengan niat hendak membinasakan rumah dan sebagainya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Salena Mhd Sallehudin ditalian 017-6424007.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 12:43 AM