DAYANG bersama Hael. FOTO: Zulfadhli Zulkifli
DAYANG bersama Hael. FOTO: Zulfadhli Zulkifli
Syanty Octavia Amry


Konsert Evolusi 73 yang berlangsung di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur, baru-baru ini, adalah hadiah daripada stesen penyiaran tertua negara, Radio Televisyen Malaysia (RTM) buat penonton setia mereka. Walaupun hujan lebat, ia tidak menghalang penonton hadir memberi sokongan kepada artis kesayangan mereka.

Konsert terbitan Unit Hiburan TV RTM ini berkonsepkan evolusi dengan menampilkan setiap lagu popular malar segar yang digubah semula dengan elemen baru bersempena misi RTM ke arah transformasi digital sepenuhnya dan turut ditayangkan secara langsung di TV2.

Barisan artis ditampilkan bukan calang-calang kerana mereka mewakili setiap zaman yang pernah ditempuhi RTM.

Barisan artis senior dan popular yang terbabit ialah Datuk David Arumugam, Datuk M Nasir dan Dayang Nurfaizah yang digabungkan dengan artis baru seperti kumpulan Hujan, Akim & The Majistret, Hael Husaini, Haqiem Rusli, Sarah Suhairi, Ben Ladin dan Paladin.

Gandingan pengacara Nana Mahazan dan Ivan Toh yang serasi, adunan muzik segar yang diberi nafas baharu, genre yang berbeza dan artis serta pemuzik daripada pelbagai generasi ternyata mewujudkan kelainan dalam konsert yang julung kali diadakan itu.

Seramai 55 pemuzik Orkestra RTM di bawah pimpinan Luqman Aziz mengiringi persembahan artis dalam konsert yang berlangsung sekitar satu jam setengah itu.

Persembahan Paladin gandingan bersama Orkestra RTM ditampilkan sebagai pembuka pentas menerusi lagu Smell Like Teen Spirit nyanyian asal kumpulan Nirvana.

Persembahannya berupaya membangkitkan ‘mood’ penonton disebabkan hujan masih lebat ketika itu.

Ikon dunia nyanyian yang menyatukan peminat pelbagai bangsa, David Arumugam daripada Alleycats tampil selepas itu menerusi lagu Senyumlah Kuala Lumpur dan Sampaikan Salam.

Kemunculan penyanyi dengan ‘trademark’ ‘terima kaseyyyy’ ini ternyata berjaya mengubati kerinduan peminat terhadapnya.

Suasana lembap selepas hujan bertukar hangat dengan kemunculan M Nasir dengan lagu Raikan Cinta dan Juwita.

Auranya ternyata kuat sewaktu menyanyikan lagu ini yang menyaksikan peminat tidak ketinggalan turut menyanyi bersamanya.

Seterusnya peminat dihiburkan dengan gandingan Hael Husaini dan Dayang Nurfaizah menerusi lagu Haram.

Dayang tidak menghampakan peminatnya apabila menyanyikan lagu popularnya Lelaki Teragung dan diikuti Hael dengan lagu Hajat.

Hael berusaha sedaya upaya memberikan persembahan terbaiknya walaupun demam dan sakit tekak.

Persembahan seterusnya menampilkan Haqiem Rusli dengan lagu Jatuh Bangun, diikuti Ben Ladin menerusi lagu Hikayat Ben Ladin.

AKIM & The Majistret
AKIM & The Majistret

Sarah Suhairi tampil dengan konsep ‘mash up’ lagu Nyawa & Raga, dan Ddu-Ddu Ddu-ddu nyanyian asal Black Pink.

Hujan sememangnya satu nama besar dalam industri muzik tanah air dan kemunculan mereka bersama Heidi menerusi lagu Malam Bulan di Pagar Bintang menerima tepukan penuh gemuruh daripada peminat.

Penyanyinya, Noh bijak berkomunikasi dengan penonton dan turut mengambil kesempatan berkongsi cerita misi kemanusiaan di Syria yang disertainya.

Mengakui ia pengalaman berharga, Noh menterjemahkan perasaan itu dalam lagu bertajuk Suria dan diakhiri lagu Jutaan Jiwa.

Konsert Evolusi 73 akhirnya tiba di kemuncak dengan persembahan bertenaga Akim & The Majistret yang menggamatkan suasana menerusi lagu Obses, Ladida dan Rampas.

Sekali lagi, penonton bersama-sama menyanyikan lagu ini, sekali gus mengakhiri malam yang indah itu.

Penolong Pengarah Unit Hiburan TV RTM, Ellia Norni Elias berkata, pihaknya gembira kerana konsert itu berjalan lancar seperti dirancang.

“Perancangan sudah dibuat tiga bulan lalu bermula dengan proses mendapatkan artis, memilih lagu yang sesuai dan lokasi. Kami bekerjasama dengan DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) dan ini kali pertama kami bawa Orkestra RTM beraksi di luar. Panggung Anniversari mempunyai nostalgia sendiri dan ini faktor ia dipilih bagi mengembalikan memori lalu,” katanya.

Menurutnya, nama Konsert Evolusi 73 dipilih bagi menggambarkan transformasi RTM ke era digital.

“Kami ada perancangan untuk menganjurkan beberapa lagi siri konsert begini. Harapnya selepas ini akan ada kesinambungan konsert seterusnya di mana kami akan bawa artis lain untuk menghiburkan peminat.

“Untuk konsert ini kami gabungkan band dan orkestra yang dipanggil rockestra. Kami mahu angkat martabat orkestra,” katanya.

Konsert berkenaan turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dan Ketua Pengarah Penyiaran, Abdul Muis Shefii.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 5:30 AM