NURUL Syazwani menunjukkan gambar arwah suaminya yang tidak sedarkan diri. (Gambar kanan) Gambar semasa majlis perkahwinan pasangan itu pada 2016 yang tular. FOTO Nor Farhani Che Ad
NURUL Syazwani menunjukkan gambar arwah suaminya yang tidak sedarkan diri. (Gambar kanan) Gambar semasa majlis perkahwinan pasangan itu pada 2016 yang tular. FOTO Nor Farhani Che Ad
Nor Farhani Che Ad


PASANGAN ini pernah mendapat perhatian masyarakat apabila dikatakan ‘kanak-kanak’ lelaki dari Bandar Seri Astana, Sungai Petani melangsungkan perkahwinan pada 2016.

Mahamad Fitra Mahamad Tahid yang menghidap Talasemia Major sebenarnya berkahwin pada usia 20 tahun namun fizikalnya umpama seorang kanak-kanak.

Bagaimanapun, segalanya hanya tinggal kenangan kerana selepas tiga hari bertarung nyawa di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) akibat dilanggar lari, Mahamad Fitra menghembuskan nafas terakhir pada Khamis lalu.

Isterinya, Nurul Syazwani Mustafa, 22, berkata, dalam kejadian 7.45 malam di lampu isyarat Jalan Lencongan Timur berdekatan Taman Cendana, suaminya yang menunggang motosikal bersama adik bongsunya, Muhammad Taufiq Danial, 8, dikatakan dilanggar lari oleh sebuah Myvi berwarna putih.

“Suami dalam perjalanan ke kawasan perindustrian Bakar Arang untuk mengambil hasil jualan roti canai di sebuah gerai. Selepas kejadian, dia pulang ke rumah ibunya dan tak jadi pergi ambil duit jual roti canai.

“Awalnya kami tengok, arwah tak mengalami kecederaan fizikal cuma adik bongsu saja alami luka di muka dan kaki sedikit terseliuh. Tapi arwah mengadu sakit kepala yang teramat sangat dan saya nampak ada benjolan di belakang kepalanya.

“Arwah juga muntah sebanyak dua kali membuatkan saya dan ahli keluarganya membawanya ke hospital,” katanya ketika ditemui hari ini.

Nurul Syazwani berkata, keesokannya doktor mengesahkan suaminya mengalami pendarahan serius di dalam otak dan memerlukan pembedahan segera.

“Selepas pembedahan dilakukan, doktor kata harapan untuk arwah sembuh tipis kerana jantungnya semakin lemah selain tekanan darah yang semakin menurun dan otaknya juga dikatakan semakin mengecut.

“Sejak itu, arwah koma dan hanya dibantu dengan mesin bantuan hayat sehinggalah pada jam 11 malam pada Khamis lalu, arwah menghembuskan nafas terakhir sejurus selepas kami sekeluarga selesai membacakan surah Yasin kepadanya,” katanya.

Dalam pada itu, Nurul Syazwani berkata, Mahamad Fitra ada menunjukkan perubahan yang ketara seminggu sebelum kemalangan.

Katanya, suaminya sering menasihatinya untuk berdikari dengan membeli barangan dapur sendiri.

Nurul Syazwani berkata, biarpun kesal dengan kejadian yang menimpa, namun dia reda dengan pemergian suaminya itu.

“Saya dan seluruh ahli keluarga mengharapkan pesalah dapat tertangkap segera dan sesiapa yang ada ternampak kejadian itu atau mengenali individu berkenaan, kami mohon tampil untuk memberi maklumat kepada pihak polis demi membela kematian suami saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 7:09 PM