ANGGOTA Unit Jejawat Payung dan Tombak dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja melakukan persiapan  di Dataran Parlimen, sebelum perasmian, semalam.
ANGGOTA Unit Jejawat Payung dan Tombak dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja melakukan persiapan di Dataran Parlimen, sebelum perasmian, semalam.
AL-SULTAN Abdullah  diiringi Tunku Hajah Azizah pada majlis Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Kedua Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat, semalam. -Foto NSTP
AL-SULTAN Abdullah diiringi Tunku Hajah Azizah pada majlis Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Kedua Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat, semalam. -Foto NSTP
Hairulazim Mahmud


KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sempat berseloroh untuk cuba mententeramkan Ahli-Ahli Parlimen yang menghadiri majlis Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Kedua Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat, semalam.

“Relaks, relaks’, titah baginda sambil meminta Ahli-Ahli Parlimen supaya bertenang dengan baginda juga sesekali meneguk minuman yang disediakan ketika menyampaikan Titah Ucapan Diraja.

Selain itu, baginda juga menarik perhatian Sidang Dewan Rakyat apabila memaklumkan bahawa usia baginda sama dengan ulang tahun ke-60 Parlimen.

Secara berseloroh baginda bertitah: “Pada tahun ini Parlimen Malaysia akan menyambut ulang tahun ke-60, sama umur dengan saya.”

Baginda yang santai ketika bertitah, dilihat beberapa kali tersenyum lebar melihat ke arah Ahli-Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Sikap bersahaja Al-Sultan Abdullah membuatkan Ahli-Ahli Parlimen lebih selesa dan fokus kepada titah ucapan baginda.

Turut berangkat hadir, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah bertitah, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan perlu difahami sedalam- dalamnya oleh setiap warganegara tanpa mengira bangsa dan agama.

“Islam bukan sekadar agama yang eksklusif untuk kumpulan tertentu, malah ia adalah cara hidup yang universal dan membawa rahmat buat sekalian alam,” titah baginda.

Kepada anasir yang mahu menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara, baginda menitahkan supaya tindakan tegas diambil ke atas mereka.

Baginda bertitah, seruan perpaduan hendaklah tidak tinggal sebagai slogan semata-mata, sebaliknya semangat perpaduan dan usaha perlu disuburkan dengan ikhlas dan dihargai.

Berkaitan aspirasi rakyat, Al-Sultan Abdullah mengingatkan bahawa rakyat bukan saja mahukan pembangunan, bahkan kerajaan yang bersih, telus, bertanggungjawab dan mendaulatkan undang-undang untuk membawa negara ke tahap lebih baik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2019 @ 8:01 AM