RAJA Zarith Sofiah  berkenan melawat Mohd Fariz di HSI   Johor Bahru, kelmarin.
RAJA Zarith Sofiah berkenan melawat Mohd Fariz di HSI Johor Bahru, kelmarin.
Mary Victoria Dass


PEMANDU ambulans, Mohd Fariz Anuar, 44, yang dianggap hero selepas membantu menyelamatkan lebih 30 pelajar sekolah menengah dan murid sekolah rendah yang terhidu gas beracun metana Khamis lalu, kini terlantar di hospital.

Mangsa dimaklumkan tidak sedarkan diri selepas terhidu gas sama menyebabkan paru-parunya gagal berfungsi dengan sempurna.

Isterinya, Hanisah Alias, 45, berkata, kali terakhir dia berbual dengan suami menerusi telefon bimbit ketika Mohd Fariz dalam perjalanan ke sebuah sekolah di Pasir Gudang untuk membantu pelajar yang mengalami keracunan akibat gas itu pada jam 10 pagi Khamis lalu.

Menurutnya, Mohd Fariz memberitahu sibuk membantu mangsa dan memaklumkan akan menghubungi kembali pada tengah hari selepas selesai tugasan.

“Malangnya pada jam 2.30 petang, saya menerima panggilan daripada rakan sekerja suami memaklumkan Mohd Fariz dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) akibat komplikasi kesihatan,” katanya.

Ibu kepada empat anak itu berkata, dia dimaklumkan suami yang memandu ambulans ketika kejadian turut membantu ramai mangsa membabitkan murid dan pelajar yang pengsan akibat terhidu gas beracun itu.

“Difahamkan, dia memakai penutup hidung dan mulut ketika itu, namun kemungkinan terdedah lama kepada udara tercemar menyebabkan dia turut menjadi mangsa,” katanya yang tinggal di Taman Scientex, Masai di sini.

Hanisah berkata, akibat terhidu gas beracun itu, suaminya mengalami bengkak pada paru-paru selain masalah pada buah pinggangnya.

“Suami masih di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dia turut menjalani dialisis buah pinggang bagi membersih dan menyingkir racun yang mengancam organ berkenaan.

“Ini kali pertama suami menghadapi masalah seumpama itu sepanjang bekerja. Saya reda dengan dugaan Allah SWT. Semoga Tuhan segera menyembuhkan penyakitnya,” katanya.

Menurutnya, suami yang dirawat di ICU mula sedarkan diri petang semalam dan menunjukkan perkembangan positif.

“Anak-anak dan saya masih memerlukannya. Dia bapa penyayang dan amat berdedikasi dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai ketua keluarga atau ketika bekerja.

“Malah, kami bergantung kepadanya untuk membiayai pengajian dua anak berusia 19 dan 20 tahun di Politeknik Ibrahim Sultan Pasir Gudang selain dua lagi anak di tahun lima dan enam.

“Saya turut bekerja sebagai pembantu pembangunan di Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) untuk membantu menambah pendapatan keluarga,” katanya.

Orang ramai yang mahu meringankan beban keluarga Mohd Fariz boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun CIMB Hanisah di 7072150611.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri, Dr Selahuddeen Abd Aziz mengesahkan seorang daripada mangsa keracunan gas yang juga pemandu ambulans masih dirawat di ICU dan keadaannya bertambah baik berbanding hari pertama kejadian.

“Alhamdulillah, hari ini (semalam) dia sudah sedar dan boleh bernafas sendiri. Sebelum ini, dia tidak sedarkan diri dan perlu menggunakan alat bantuan pernafasan.

“Bagaimanapun, keadaannya bertambah baik dan hanya paru-parunya yang berdepan masalah, tiada organ lain. Kami memantau perkembangannya sama seperti pesakit lain dan melihat dia menunjukkan tanda positif,” katanya.

Sementara itu Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berkenan melawat Mohd Fariz di HSI di Johor Bahru, kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2019 @ 7:00 AM