Nurshila dan Seh Mohd Nazri bersama kucing jenis Parsi dan Exotica peliharaannya. FOTO Hassan Omar
Nurshila dan Seh Mohd Nazri bersama kucing jenis Parsi dan Exotica peliharaannya. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


ALOR GAJAH: Sepasang suami isteri di Masjid Tanah, dekat sini, sanggup berbelanja besar demi 70 kucing baka Parsi dan Exotica kesayangan mereka yang dipelihara bagaikan menatang minyak yang penuh.

Nurshila Ismail, 33, dan suami, Seh Mohd Nazri Seh Abdullah, 35, memiliki baka berkenaan hasil kacukan kucing jantan dan betina masing-masing jenis Parsi dan Exotica dihadiahkan abang Nurshila yang menetap di Australia, tujuh tahun lalu.

Nurshila berkata, kedua-dua kucing jantan dan betina diterima daripada abangnya yang bernilai RM20,000 itu diimport dari Perancis dan berdaftar dengan Cat Franciers’ Association (CFA) berpangkalan di Manasquan, New Jersey, Amerika Syarikat.

NURSHILA akan pastikan setiap kucing peliharaannya mendapat rawatan daripada doktor veterinar.
NURSHILA akan pastikan setiap kucing peliharaannya mendapat rawatan daripada doktor veterinar.

“Dalam tempoh setahun selepas menerima kedua-dua kucing daripada abang, ia mempunyai 10 anak dengan tujuh daripadanya betina,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Ayer Limau.

Dia memastikan setiap anak kucing diberikan vaksin dan rawatan lengkap oleh doktor veterinar sebelum menjualnya berikutan jumlah haiwan berkenaan bertambah dari semasa ke semasa.

“Saya membelanjakan tidak kurang daripada RM6,000 sebulan untuk membiayai kos makanan, pasir dan rawatan untuk mereka yang tinggal dalam tiga bangsal yang sentiasa bersih.

“Kebanyakan pelanggan mencari anak kucing berusia empat bulan ke atas dan lengkap vaksin, selain kaedah menjaganya lebih mudah berbanding memelihara anak kucing baru lahir,” katanya.

Menurutnya, dia menawarkan haiwan itu pada harga RM3,000 hingga RM5,000 seekor dengan kebanyakan pelanggan datang sendiri ke kediamannya bagi melihat kucing dikehendaki.

SEH Mohd Nazri mengusap dan   membelai kucing peliharaan mereka.
SEH Mohd Nazri mengusap dan membelai kucing peliharaan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 8:00 AM