AZREL ISMAIL. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
AZREL ISMAIL. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Syafil Syazwan Jefri


TAHUN ini sudah memasuki tahun keempat Azrel Ismail bergelar pelakon.

Dalam tempoh itu juga, dia tidak menggunakan khidmat pengurus peribadi untuk menguruskan rentak kerjaya seninya.

Namun, kini dia bersedia untuk melantik seorang pengurus yang juga bertindak sebagai pegawai perhubungan awam untuk mengendalikan kerja seninya.

“Walaupun tiada pengurus, ia tak menyukarkan saya pun. Mungkin kerana saya sudah terbiasa sejak awal lagi.

“Namun, tahun ini saya ingin mendapatkan lebih banyak kerjasama dengan jenama besar dan bertaraf antarabangsa. Jadi, rasanya lebih baik sekiranya saya melantik pengurus supaya mudah untuk dia membawa nama saya sebagai satu jenama,” katanya.

Jika tahun lalu wajahnya menghiasi filem Pulang, tahun ini Azrel menantikan kehadiran filem komedi pertama lakonannya berjudul Bikin Filem.

“Walaupun ini filem komedi pertama saya, ia bukanlah lakonan komedi yang pertama. Sebelum ini saya pernah melakonkan beberapa watak komedi dalam drama.

“Sejujurnya, genre komedi adalah antara genre kegemaran saya kerana tidak banyak tekanan dan lebih santai,” katanya.

Dalam filem yang dijadual untuk tayangan pada Jun ini, Azrel yang memegang watak utama bergandingan dengan beberapa pelakon hebat antaranya Scha Alyahya, Azhan Rani dan Sherry Alhadad.

Walaupun menyifatkan genre komedi itu lebih santai, tidak bermakna pelakon ini menolak tepi tawaran filem berunsur serius.

“Pulang adalah contoh filem serius yang berat. Tentunya sebagai pelakon saya sukakan juga watak yang serius dan bermain dengan emosi seperti dalam filem itu.

“Lebih puas adalah apabila saya sebagai pelakon, menerima respons secara langsung daripada penonton tatkala hadir ke pawagam untuk menonton,” katanya.

Terbaru, Azrel kini berada di Scotland untuk menjalani penggambaran drama bersiri 13 episod berjudul Dia Adelia.

“Saya berada di sini sejak 17 Januari lalu dan akan selesai menjalani penggambaran pada 2 Februari ini,” katanya.

Selain Azrel, drama itu dibintangi Eyka Farhana, Fadlan Hazim, Liza Abdullah dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 January 2019 @ 8:09 AM