Mohd Azam Shah Yaacob


SULTAN Muhammad V meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong berkuat kuasa serta-merta, hari ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz dalam satu kenyataan hari ini berkata, peletakan jawatan baginda itu dibuat selaras Perkara 32(3) Perlembagaan Persekutuan dan sudah dimaklumkan secara rasmi kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja melalui warkah yang diutuskan kepada Setiausaha Majlis Raja-Raja.

Katanya, sepanjang menjalankan tugas, baginda sudah berusaha memenuhi tanggungjawab dan amanah selaku Ketua negara dan berperanan sebagai tunggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan dan payung penyatuan dalam kalangan rakyat.

“Baginda menzahirkan ucapan terima kasih kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja yang memilih baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 bermula 13 Disember 2016.

“Baginda menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana menteri dan kerajaan yang memberikan kerjasama dalam mentadbir negara,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, baginda selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan tentera, amat berbangga dengan pengorbanan serta taat setia dicurahkan kepada baginda dan negara selama ini.

“Kepada rakyat Malaysia, baginda bertitah supaya terus bersatu mengekalkan perpaduan, bertolak ansur dan bersepakat dalam memikul tanggungjawab terhadap negara yang berdaulat ini agar Malaysia terus berada dalam keadaan aman dan harmoni,” katanya.

Info Sultan Muhammad V

Nama sebenar: Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra

* Menggunakan gelaran Sultan Muhammad V selepas dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 pada 13 September 2010

* Mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 13 Disember 2016

* Baginda menggantikan Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu' adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahannya pada tarikh tersebut.

* Istiadat pertabalan Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-15 diadakan pada 24 April 2017

* Lahir di Kota Bharu, Kelantan pada 6 Oktober 1969

* Putera sulung daripada empat beradik kepada Sultan Ismail Petra dan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid

* Tiga adinda baginda ialah Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Dr Muhammad Faiz Petra, 45; Tengku Muhammad Fakhry Petra, 41, dan Tengku Amalin A'ishah Putri, 33 tahun.

* Berusia 50 tahun

* Dimahkotakan sebagai tengku Mahkota Kelantan pada Oktober 1985 dan diangkat sebagai Pemangku Sultan Kelantan pada 24 Mei 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 January 2019 @ 6:39 PM