HARGA telur ayam di sebuah kedai runcit di Taman Sri Impian masih dijual pada harga yang sama seperti minggu lepas.
HARGA telur ayam di sebuah kedai runcit di Taman Sri Impian masih dijual pada harga yang sama seperti minggu lepas.
Adnan Ibrahim


KLUANG: Peniaga kedai runcit merayu pihak berkuasa menjalankan penguatkuasaan ke atas pembekal telur ayam kerana didakwa tidak menurunkan harga walaupun selepas harga baru diumumkan kerajaan, baru-baru ini.

Tinjauan di tiga kedai runcit di Taman Sri Lambak, Taman Sri Impian dan Taman Makmur mendapati harga telur ayam gred A masih dijual antara RM13.30 hingga RM13.90 sepapan, sama seperti sebelum pengumuman penurunan harga dibuat.

Seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Rosnah, 45, berkata, dia masih membeli telur ayam daripada pembekal pada harga 42 sen sebiji dan terpaksa menjual dengan harga 45 sen sebiji iaitu hanya untung sekitar 90 sen sepapan.

Katanya, peniaga hairan mengapa pembekal telur ayam di pasar raya besar boleh memberikan harga lebih rendah namun tidak kepada peniaga runcit sedangkan mereka dipercayai daripada syarikat sama dan menghantar pada jumlah banyak.

“Sebagai peruncit, kami tiada pilihan kerana mendapat bekalan pada harga tinggi dan di sinilah pengguna menjadi mangsa daripada sikap tamak pembekal yang sentiasa mengambil peluang menaikkan harga barang keperluan.

“Berikutan itu, kami merayu kerajaan menangani masalah ini dengan lebih tegas dan jangan hanya seperti melepaskan batuk di tangga sedangkan peruncit dan pengguna khususnya terus tertekan,” katanya ketika ditemui NSTP.

Sementara itu, pengguna yang hanya mahu dikenali sebagai Halim, 38, berkata, alasan kenaikan harga telur ayam seperti diumumkan kerajaan amat mengejutkan kerana sejak beberapa bulan terakhir ini, tiada penularan penyakit selesema burung hingga menyebabkan kematian ayam dalam jumlah banyak hingga boleh menjejaskan pengeluaran telur ayam.

“Ada dakwaan kenaikan ini adalah perkara biasa dan dijangka turun semula selepas bekalan pulih namun harga barang keperluan harian seperti telur ayam ini naik setiap minggu dan tidak pernah turun.

“Tidak mustahil harga telur ayam akan dinaikkan lagi menjelang sambutan Hari Natal minggu hadapan selain perayaan lain sepanjang 2019,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Disember 2018 @ 8:39 AM