PENUNTUT jurusan Sains Tanaman UMT melayan pelanggan ketika berniaga sayur di pekarangan UMT.
PENUNTUT jurusan Sains Tanaman UMT melayan pelanggan ketika berniaga sayur di pekarangan UMT.
Ahmad Rabiul Zulkifli


KUALA NERUS: “Tidak kisahlah apa orang nak gelar, minah sayur atau mak cik jual sayur sekalipun. Paling penting usaha kami ini mampu menjana pendapatan,” kata Nor Hanan Ibrahim, 21.

Penuntut ijazah Sarjana Muda Sains Agro Teknologi (Sains Tanaman) itu bersama rakan sekuliah aktif menjual pelbagai jenis sayur-sayuran di kampus Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini.

Katanya, peluang perniagaan itu dimanfaatkan sepenuhnya susulan ilmu pertanian yang dipelajari mereka ketika ini dengan produk jualan adalah hasil tanaman sendiri.

“Kami menanam kacang panjang, kangkung, timun dan sawi di Tapak Semaian dan Tanaman UMT di Bukit Kor, Marang.

“Apabila tanaman mengeluarkan hasil, saya dan lima rakan akan mewakili penuntut fakulti kami untuk menjual hasil ini di kampus dengan harga ditetapkan jauh lebih murah daripada bekalan segar di pasar.

“Mungkin ada yang memandang sinis apabila melihat penuntut seperti kami menjual sayur, tetapi bagi saya, ia tidak memberi kesan apa-apa,” katanya ketika ditemui.

Rakannya, Homaa Faezah Moinuddin, 22, berkata, sawi dan kacang panjang mendapat permintaan tinggi, malah mereka menjualnya dengan harga antara RM1 ke RM2 untuk seikat.

Katanya, jika bekalan banyak, harga jualan akan diturunkan dan ada sayur yang diberi percuma kepada warga kampus.

“Jika bekalan sedikit, maka kami kekalkan pada harga biasa atau tinggi sikit,” katanya yang memberitahu hasil jualan akan dikumpul sebelum dibahagikan sama rata antara mereka atau digunakan untuk jamuan akhir tahun.

Homaa Faezah mengakui aktiviti berkenaan bukan sekadar memberi peluang untuk mereka mempraktikkan ilmu dipelajari, sebaliknya membolehkan mereka mendalami selok-belok perniagaan.

“Apabila terbabit aktiviti jualan seperti ini, ia membuka mata saya serta rakan untuk menjadikan pertanian ini sebagai satu bentuk perniagaan menguntungkan,” katanya.

“Walaupun ada yang pandang remeh pada pertanian dan rasa ia bukan pekerjaan gah, kami melihat sebaliknya kerana hasilnya lumayan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 November 2018 @ 7:00 AM