TIGA buah lori sedang membawa kayu balak keluar daripada hutan. FOTO/FARIZUL HAFIZ AWANG
TIGA buah lori sedang membawa kayu balak keluar daripada hutan. FOTO/FARIZUL HAFIZ AWANG
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


KUANTAN: Lima sungai yang melalui kawasan pelancongan di Sungai Lembing atau turut dikenali sebagai El-Dorado Timur di sini, semakin hilang serinya berikutan kerakusan tangan manusia.

Air Sungai Terpai, Sungai Keliu, Sungai Pasir Kubur, Sungai Jin dan Sungai Daguk yang mengalir dari hulu Sungai Lembing tidak lagi sejernih dulu berikutan penangan pembalakan tidak terkawal.

Yang ada kini hanya air sungai kekuningan dan keruh sekali gus, mencacatkan lagi keindahan kawasan berkenaan.

Lebih menyedihkan apabila situasi itu dihadapi sendiri kumpulan pelancong dari dalam dan luar negara apabila berkunjung ke Air Terjun Pelangi dan Gunung Tapis, antara kawasan tarikan ekopelancongan untuk pekan ini yang pernah popular sebagai perlombongan bijih timah.

Ekosistem sungai yang terjejas juga mengganggu kawasan tadahan hujan yang dibangun untuk memanfaatkan sejuta penduduk di daerah ini sebagai bekalan utama untuk loji rawatan air (LRA).

Bagaimanapun, tidak mustahil jika semua perancangan itu rosak sekiranya pembalakan dibiarkan terus berleluasa di hulu Sungai Lembing, beberapa tahun lagi.

Siasatan yang dijalankan wartawan baru-baru ini mendapati 500 hektar kawasan hutan di hulu Sungai Lembing ditebang secara berleluasa tanpa mengambil kira impak ke atas alam sekitar dan masyarakat.

Natijahnya, sungai yang menjadi kawasan tadahan air dan punca bekalan air bersih penduduk Kuantan menjadi mangsa tanpa satu penyelesaian konkrit daripada pihak berkuasa.

Difahamkan, terdapat dua kontraktor pembalakan yang mempunyai permit membawa keluar balak secara sah dan ia diluluskan sejak 2013 sebelum permit itu diperbaharui setiap tahun.

Tinjauan mendapati jarak kawasan pembalakan dari pekan Sungai Lembing sejauh tujuh kilometer dan masa perjalanannya 15 minit menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

KAWASAN pembalakan di sekitar hutan Sungai Lembing yang menjejaskan anak anak sungai kawasan sekitar yang boleh menyebabkan banjir lumpur ketika musim tengkujuh. FOTO/FARIZUL HAFIZ AWANG
KAWASAN pembalakan di sekitar hutan Sungai Lembing yang menjejaskan anak anak sungai kawasan sekitar yang boleh menyebabkan banjir lumpur ketika musim tengkujuh. FOTO/FARIZUL HAFIZ AWANG

Sebaik memasuki kawasan tanah merah dan berbatu, terbentang kawasan lapang yang luas untuk mengumpulkan kayu balak sudah ditebang sebelum ia dikeluarkan menggunakan lori.

Dikenali Matau Balak, ia juga laluan yang dikongsi operator pelancongan untuk membawa orang ramai ke kawasan Air Terjun Pelangi dan Gunung Tapis.

Aktiviti pembalakan yang tidak terancang diibarat seperti ‘bom jangka’ apabila hakisan tanah mudah berlaku dan memenuhi anak sungai berhampiran sekali gus menjadikan ia keruh.

Lebih membimbangkan lumpur yang dibawa melalui sungai berisiko menyebabkan banjir lumpur di sekitar pekan Sungai Lembing dan beberapa kampung berhampiran setiap kali musim tengkujuh.

Pengamatan dibuat di lima sungai itu mendapati tiada lagi tanda hidupan air seperti ikan kelas A menghuni di situ sedangkan sungai di Pahang sangat terkenal sebagai habitat ikan kelah, krai dan jelawat.

Kerosakan berlaku nyata tidak disenangi pelbagai pihak terutama mereka dalam bidang pelancongan memandangkan tiada lagi ‘mutiara’ yang mahu ditunjukkan kepada pelancong.

Campur tangan pihak berkuasa terutama kerajaan negeri, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri perlu untuk menyelamatkan kawasan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 November 2018 @ 9:46 AM