SITI Rohani  menyediakan gulai ikan yang dimasak di kedai makan miliknya di Taman Kota Nelayan, Kuala Kedah.
SITI Rohani menyediakan gulai ikan yang dimasak di kedai makan miliknya di Taman Kota Nelayan, Kuala Kedah.
Aizat Sharif


KEDAH: Kuala Kedah adalah sebuah kawasan di Alor Setar yang sering menjadi pintu keluar dan masuk pelancong dari dalam dan luar negara bercuti ke Pulau Langkawi menggunakan perkhidmatan feri penumpang yang disediakan.

Selain itu, Kuala Kedah turut dikenali sebagai kawasan perindustrian perikanan di mana urusan pendaratan pelbagai jenis ikan serta hidupan laut lain oleh nelayan pesisir pantai serta laut dalam banyak dilakukan di kawasan berkenaan.

Malah, nama Kuala Kedah juga cukup sinonim dengan lauk gulai ikan temenung (ikan kembong) yang mana ramai pelancong atau pengunjung bukan saja dari Kedah tetapi di luar negeri itu sentiasa berpusu-pusu ke kawasan itu untuk menikmati keunikan gulai ikan temenung.

Jadi tidak hairanlah, apabila terdapat lebih daripada 100 restoran atau kedai makan yang menghidangkan lauk berkenaan di Kuala Kedah.

Selain itu juga, apabila berada di Kuala Kedah atau kawasan Kota Kuala Kedah, tidak sah jika tidak singgah makan tengah hari di kedai makan Gulai Ikan Meletop yang terletak di Taman Kota Nelayan, Kuala Kedah yang menghidangkan lauk terkenal ini di samping pelbagai lagi juadah lauk-pauk lain.

Pemiliknya, Siti Rohani Mohd Nor, 49, berkata, dia mengusahakan perniagaannya itu sejak tiga tahun lalu selepas mengambil alih daripada peniaga lain yang sebelum itu turut berniaga lauk yang sama di kawasan rumah ibunya itu.

“Kedai makan ini sudah 20 tahun wujud di halaman rumah ibu saya ini namun saya hanya mula mengusahakannya sejak tiga tahun lalu dibantu anak saya serta beberapa pekerja lain.

PERNIAGAAN Siti Rohani  dibuka seawal jam 7 pagi.
PERNIAGAAN Siti Rohani dibuka seawal jam 7 pagi.

“Malah, kedai makan ini juga beroperasi tujuh hari seminggu dan bermula seawal jam 9 pagi sehingga jam 3 petang dan selalunya jam 11 pagi hingga 2 petang, orang ramai sudah mula memenuhi kedai makan ini,” katanya ketika ditemui di kedai makannya itu.

Katanya, dia yang juga ibu tunggal setelah kehilangan suaminya sejak lapan tahun lalu berkata, walaupun terdapat banyak kedai makan atau restoran yang turut menghidangkan lauk gulai ikan temenung di sekitar kawasannya itu, dia berasa masing-masing mempunyai keistimewaan tersendiri dalam menyediakan juadah berkenaan.

“Bermacam-macam kedai, pelbagai variasi rasa gulai ikan temenung itu dan di kedai makan saya ini pula, keenakan gulai ini harus sepenuhnya bergantung kepada kuahnya yang pekat dan sedikit rasa masam namun bila dikatakan sedap, ia adalah subjektif kerana tertakluk sepenuhnya kepada pelanggan yang berkunjung ke sini.

“Selain itu juga, yang membezakan kedai makan saya ini dengan restoran atau kedai makan lain kerana saya turut menyediakan hidangan lauk ‘Ikan Cabut Tulang’ yang mana ikan temenung itu dibuang tulangnya sebelum isinya itu disumbat dengan kelapa dan cili dan kemudian digoreng,” katanya.

Siti Rohani berkata, proses penyediaan lauk gulai ikan temenung di kedainya itu bermula pada jam 7 pagi dan memerlukan dua jam untuk disiapkan.

“Adakalanya seawal jam 7 pagi, orang ramai sudah berkunjung ke kedai makan ini dan bertanyakan berkenaan lauk gulai ikan temenung, walhal ia sebenarnya sedang disediakan.

“Disebabkan itu juga, ada pelanggan yang sudahpun menjamah lauk ini seawal pagi sebagai hidangan sarapan mereka,” katanya.

Dia berkata, walaupun harga ikan temenung di pasaran tidak menentu, dia tetap mengekalkan jualan harga gulai ikan temenung pada kadar RM2.50 untuk seekor ikan.

“Harga ikan temenung di pasaran lazimnya tidak menentu kerana ia dijual dengan harga antara RM10 hingga RM12 untuk sekilogram dan lazimnya saya memperoleh bekalan ini dari pasar ikan berdekatan.

“Namun begitu, saya tetap mengekalkan harga lauk ini pada kadar RM2.50 untuk seekor ikan temenung,” katanya.

Tidak hairanlah, kemesraan serta senyuman yang sering diukir Siti Rohani kepada pelanggannya menyebabkan ramai pelanggannya yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama dari seluruh negara akan berkunjung ke kedai makannya. itu untuk menjamu hidangan gulai ikan temenung.

Malah, pada tahun lalu juga, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sudi meluangkan masa menikmati juadah berkenaan di kedai makannya ketika melakukan lawatan kerja ke Kuala Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 November 2018 @ 7:19 AM