BAR dilihat mencabut niqab dalam iklan itu. - Agensi
BAR dilihat mencabut niqab dalam iklan itu. - Agensi
Agensi

LONDON: Model terkenal Israel, Bar Refaeli mencetuskan kemarahan dalam satu video iklan mempromosikan koleksi pakaian jenama Hoodies dengan membuka niqab disertakan kenyataan ‘Kebebasan sesuatu yang asas.’

Mail Online melaporkan, iklan mempromosikan koleksi pakaian musim sejuk jenama pakaian Israel itu dilancarkan di YouTube pada Isnin lalu dan dikongsi di akaun Instagram Refaeli yang mempunyai 2.7 juta pengikut, lapor Daily Mail.

Selepas dikecam hebat, Bar memadamkan video berkenaan tetapi ia masih ditayangkan YouTube syarikat itu.

Dalam video berkenaan, Bar dilihat memakai niqab sebelum membukanya dan menayangkan rambutnya.

Dia kemudian menari mengikut rentak muzik dengan lirik berbunyi “Semuanya mengenai kebebasan, akhirnya rantai itu dipecahkan untuk mendapatkan kebebasan saya.”

Video itu mencetuskan pelbagai reaksi di Twitter dengan seorang pengguna berkata: “Ini iklan paling bongkak dan rasis yang pernah saya tonton. Saya tidak percaya syarikat itu meluluskannya.”

Ada juga netizen mencemuh iklan itu sebagai hipokrit kerana hak kebebasan termasuk untuk memilih sama ada mahu menutup aurat atau sebaliknya.

Laman Facebook Nas Daily ketika mengkritik iklan itu berkata: “Adakah mereka mencadangkan berpakaian separuh bogel saja satu kebebasan? Sedangkan seorang wanita juga bebas memilih menutup auratnya.”

Bagaimanapun, seorang pengguna menarik perhatian kepada wanita di Iran yang kini membuka niqab mereka dan menari di jalanan sebagai tanda protes dipaksa memakainya di negara itu, seterusnya iklan Bar itu dilihat memberi sokongan kepada mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 November 2018 @ 7:56 AM