Mahaizura Abd Malik

[email protected]

KUALA LUMPUR: Bermula sebagai hobi mengumpul koleksi Hot Wheels, Mohd Qamarmubarak Mohd Hanafi, 40, kini menjadi pereka khas kereta mainan berskala kecil.

Lebih bermakna, guru penolong kanan kokurikulum sebuah sekolah rendah di Selangor itu mewakili Malaysia dan Asia ke Colombia Custom Competitions kategori Morris Mini Hot Wheels di Colombia, Amerika Latin 12 November ini.

Mohd Qamarmubarak berkata, dia kini memiliki lebih 500 koleksi Hot Wheels yang dikumpul sejak usianya 13 tahun.

“Saya mula terbabit dalam dunia rekaan mainan ini, sejak tahun lalu selepas mendapati rekaan asal membosankan dan timbul idea untuk membuat kelainan.

“Di negara lain misalnya Thailand dan Indonesia, sebenarnya dunia rekaan khas mainan ini bermula sejak enam tahun lalu, malah ada orang jual komponen kecil seperti tayar di pasaran.

“Jadi, saya mula mengubah suai mainan kecil berskala tiga inci ini ikut budaya dan identiti Malaysia selain turut menyelitkan apa saja yang menjadi trend terkini dalam hasil kerja saya,” katanya.

Menurutnya, dia gemar menampilkan rekaan berkonsepkan vintaj, klasik dan memiliki identiti tersendiri dalam setiap hasil kerjanya.

“Proses ubah suai biasanya membabitkan pemotongan bahagian bonet depan untuk meletak enjin serta mengubah warna cat asli kepada warna pilihan yang lebih nampak ceria menggunakan teknik monokrom, spray dan air brush.

“Untuk menampilkan kelainan, saya juga menambah komponen kecil daripada bahan terpakai dan mudah didapati seperti kapasitor, dior pemancar cahaya (LED), mikrocip, perintang, dawai, penapis kopi, jarum peniti, skru, simkad dan penutup pen sebagai aksesori tambahan.

“Ada sesetengah rekaan memerlukan saya lebih kreatif contohnya penggunaan tepung gandum bagi melebarkan saiz rangka kereta serta garam dan lada hitam untuk memberi kesan karat,” katanya.

Katanya, pada mulanya rekaan ubah suai itu sekadar hobi untuk koleksi peribadinya, namun lama kelamaan ia menarik minat orang ramai terutama kenalannya di Facebook.

“Saya tiada niat hendak jual, namun kerana tidak mahu mengecewakan hati orang, saya penuhi juga permintaan mereka.

MOHD Qamarmubarak bersama anaknya, Afif Muammar menunjukkan kereta Hot Wheels berskala kecil.
MOHD Qamarmubarak bersama anaknya, Afif Muammar menunjukkan kereta Hot Wheels berskala kecil.

“Lama kelamaan pelanggan menularkan hasil kerja saya dari situ saya membuka tempahan sejak Disember tahun lalu selepas mendapat permintaan tinggi.

“Rekaan paling menjadi kegemaran ramai ialah van Milo konsep warnanya dan rekaannya belum pernah lagi orang buat,” katanya.

Mohd Qamarmubarak berkata, dia menjadikan filem dan cerita kartun sebagai inspirasi dalam menghasilkan rekaan daripada biasa kepada luar biasa.

“Saya tidak belajar dari mana-mana cuma tengok kartun dan olah sendiri ikut kreativiti sendiri.

“Biasanya saya mendapat ilham daripada Ghost Buster, Mamee Monster, Ninja Turtles, Thundercats, The Cars, dan Scooby-Doo,” katanya.

Katanya, lebih 10 pertandingan membabitkan rekaan khas dan fotografi yang pernah disertai kebanyakkannya dia menjadi johan kerana menghasilkan karya yang belum pernah dihasilkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Oktober 2018 @ 8:57 AM