Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Ibu mana yang sanggup menerima kenyataan apabila anaknya mengalami autisme.

Itu dialami Siti Nurbaya Hamsan, 40, yang pada awalnya menafikan anak sulungnya, Dzarif Hasyim Khairulanwar, 13, menghidap autisme ringan walaupun disahkan doktor ketika usianya lima tahun.

Sampaikan satu tahap Siti Nurbaya memaksa anaknya yang mempunyai komunikasi terbatas dan tiada fokus ke kelas tuisyen setiap malam kerana mahu remaja terbabit pandai membaca.

Lama-kelamaan dia terpaksa mengalah dan menerima takdir itu lalu membiarkan anaknya membesar mengikut minatnya sendiri.

Hari ini, ibu kepada dua anak itu lega apabila anak istimewanya bukan saja pandai membaca dan menulis malah mahir menjahit.

Siti Nurbaya berkata, kali pertama guru Dzarif Hasyim memaklumkan anaknya mahir menjahit awal Januari lalu, dia tergamam mendengarnya.

“Anak saya lambat bercakap dan tangannya lemah, sebab itu dia hanya pandai menulis selepas umurnya tujuh tahun dan ketika usianya 10 tahun, baru boleh membaca.

“Mula-mula saya tergelak bila gurunya memberitahu dia boleh menjahit sebab dekat rumah tiada mesin jahit. Benang dan jarum pun dia tidak kenal, tetapi itulah kelebihan yang Allah beri kepada dia,” katanya.

Menurutnya, perkembangan positif Dzarif Hasyim itu dapat dilihat selepas anaknya menyertai Program Pendidikan Khas Integrasi di sebuah sekolah menengah di Danau Kota di sini.

“Program ini lebih fokus pada kemahiran. Pada mulanya gurunya menghantar dia ke kelas berkebun namun dia nampak macam tidak berminat.

“Situasi berbeza dengan kelas menjahit, dia boleh memberikan tumpuan dan mampu mengendalikan mesin jahit dengan baik. Daripada situ nampak kecenderungannya ke arah itu.

DZARIF mempunyai kemahiran menjahit. FOTO Saifullizan Tamadi
DZARIF mempunyai kemahiran menjahit. FOTO Saifullizan Tamadi

“Jika dulu apabila hendak pergi sekolah, dia akan menangis kerana sukar menyesuaikan diri di sekolah arus perdana namun sekarang dia teruja dan seronok bila dapat mesin.

“Alhamdulillah dengan bantuan gurunya, dia mampu menjahit langsir, seluar, skirt, blouse, sarung bantal, kusyen dan uncang kecil,” katanya.

Siti Nurbaya berkata, dia dan suaminya memberi galakan kepada minat anak mereka dan merancang membantu Dzarif Hasyim maju dalam bidang berkenaan.

“Apa saja dia minat, saya akan sokong sebab faham bukan mudah mereka hendak ada kemahiran macam ini.

“Sebagai ibu, sekurang-kurangnya apabila dia boleh jaga diri sendiri dan ada satu kemahiran untuk masa depannya, itu sudah memadai dan membuatkan saya lega,” katanya.

Sementara itu, Dzarif Hasyim berkata, dia banyak belajar menjahit daripada guru sekolahnya dan juga YouTube.

“Saya suka menjahit terutama buat uncang kerana senang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Oktober 2018 @ 9:44 AM
DZARIF bersama ibunya Siti Nurbaya Hamsan. FOTO Saifullizan Tamadi
DZARIF bersama ibunya Siti Nurbaya Hamsan. FOTO Saifullizan Tamadi