Shamsul Munir Safini


SEORANG ahli PKR cedera dalam pergaduhan dua kumpulan yang tidak berpuas hati dengan keputusan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) mengekalkan keputusan pemilihan di Pulau Pinang.

Pergaduhan itu tercetus ketika sidang media apabila lebih 100 ahli PKR yang hadir pada sidang media itu menuntut dan menjerit slogan agar keputusan pemilihan di Pulau Pinang dibatalkan selepas berlaku masalah dalam proses pemilihan di beberapa pusat di negeri terbabit.

Berlaku tolak-menolak dan insiden merempuh serta kerusi berterbangan akibat dibaling kumpulan penyokong terbabit sebelum keadaan akhirnya terkawal.

Pada sidang media itu, Setiausaha JPP PKR, Ismail Yusop mengumumkan keputusan rasmi pemilihan di Kedah dibatalkan ekoran hanya enam daripada 15 cabang di Kedah dapat menjalankan proses pengundian.

Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan pemilihan bagi 13 cabang di Pulau Pinang akan dimuatkan ke laman web rasmi parti. 

Katanya, pemilihan bagi Perak dan Perlis yang dijadualkan esok turut ditangguhkan.

“Pengundian berlangsung hari ini adalah pertama kali dilakukan menggunakan e-undi dan selepas meneliti laporan dan pandangan semua pihak termasuk kepemimpinan kanan dan mereka yang bertanding, semua proses pengundian dijalankan di Kedah dibatalkan.

“Ia terpaksa dibatalkan selepas hanya satu pertiga daripada cabang di Kedah dapat menjalankan proses pengundian manakala proses pengundian esok akan  ditangguhkan ke satu tarikh lain yang akan dimaklumkan. 

“Bagi proses pemilihan di Pulau Pinang, semua cabang di negeri ini dapat menjalankan proses pengundian dan keputusannya boleh digunakan sehingga ada bantahan bertulis daripada ahli dan menerusi mesyuarat khas yang dijalankan membincangkan mengenainya,” katanya pada sidang media di Safira Golf and Country Club di Seberang Jaya, malam tadi.

[METRPOSEORANG lelaki cedera di kepala dalam kekecohan antara calon serta ahli PKR semasa sidang media JPP PKR di Safira Golf and Country Club di Seberang Jaya, malam tadi. FOTO Danial Saad.
[METRPOSEORANG lelaki cedera di kepala dalam kekecohan antara calon serta ahli PKR semasa sidang media JPP PKR di Safira Golf and Country Club di Seberang Jaya, malam tadi. FOTO Danial Saad.

Beliau berkata, pemilihan parti bagi Perlis, Perak, Melaka, Negeri Sembilan dan Kedah akan ditentukan kelak selepas Hari Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson. 

Sementara itu, Timbalan Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR, Dr Afif Bahardin dalam sidang media berasingan mahu JPP dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail bertanggungjawab di atas kekecohan dan masalah timbul di pusat pemilihan di Kedah dan Pulau Pinang. 

“Saya mewakili suara akar umbi parti dan anggota pertama ingin menggesa Saifuddin bertanggungjawab sepenuhnya pada pemilihan hari ini, ia bukan sahaja tanggungjawab JPP, namun pada masa sama ia adalah tanggungjawab setiausaha agung. 

“Daftar nama pemilih ahli tidak dikemas kini dan tidak efisien,” katanya. 

Menurutnya, beliau mengajak semua ahli menuntut penjelasan agar e-undi disemak semula kerana tidak efisien dan ditakuti ia tidak telus dan meragukan kerana keputusan diterima pada pemilihan di Pulau Pinang.  “Kami mahukan ketelusan kerana sistem ini terbuka kepada manipulasi dan mahu JPP dan Saifuddin bertanggungjawab jelaskan apa yang berlaku hari ini.

“Ia sesuatu yang mendukacitakan dan memalukan kita semua sebagai ahli PKR,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 September 2018 @ 12:21 AM
BERLAKU kekecohan antara calon serta ahli PKR semasa sidang media JPP PKR di Safira Golf and Country Club di Seberang Jaya, malam tadi. FOTO Danial Saad.
BERLAKU kekecohan antara calon serta ahli PKR semasa sidang media JPP PKR di Safira Golf and Country Club di Seberang Jaya, malam tadi. FOTO Danial Saad.