Syamsul anggap petanda baik buat industri Malaysia. FOTO HM Digital/IG
Syamsul anggap petanda baik buat industri Malaysia. FOTO HM Digital/IG
Amirul Haswendy Ashari


BELUM pun tarikh tayangan pada 29 Ogos ini, tiket pra-jualan filem Munafik 2 arahan Syamsul Yusof di panggung tempatan hampir habis dijual melalui dalam talian (online).

Antara lokasi menunjukkan respon luar biasa adalah Johor Bahru, sekitar Lembah Klang dan Putrajaya.

Syamsul dihubungi berkata ia petanda baik buat industri tempatan apatah lagi dengan kejayaan filem Hantu Kak Limah yang berjaya pecah rekod sejarah perfileman tempatan dengan kutipan melebihi RM27.5 juta.

"Filem Munafik 2 mendapat tempat di lebih 130 panggung seluruh Malaysia dan jualan 'online' serta di kaunter sudah dibuka.

"Bukan semua filem tempatan mendapat kerjasama daripada pihak panggung seperti ini sehinggakan mereka sanggup buka jualan sejak minggu lalu," katanya.

Syamsul mendakwa situasi ini berlaku kerana pihak panggung ada naluri positif terhadap filemnya itu lantas memberi sokongan dan promosi yang luar biasa.

Dia percaya sambutan luar biasa itu turut disebabkan klasifikasi filem bergenre seram ini adalah P13.

"Saya dan pasukan produksi sudah melakukan yang termampu untuk memberi kepuasan tontonan kepada penonton tempatan dan harap dapat sokongan baik daripada semua.

"Apatah lagi, pihak panggung sudah menonton pada sesi tayangan tertutup mendakwa filem ini lebih baik berbanding Munafik lalu," katanya.

Filem Munafik 2 lakonan Syamsul, Maya Karin, Fizz Fairuz, Nasir Bilal Khan, Mawi dan ramai lagi juga bakal ditayangkan di Indonesia pada 26 September depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Ogos 2018 @ 1:07 PM