KISWAH hampir diterbangkan angin selepas Makkah dilanda hujan lebat dan ribut lewat petang kelmarin. FOTO Channel Islam Int@channelislam
KISWAH hampir diterbangkan angin selepas Makkah dilanda hujan lebat dan ribut lewat petang kelmarin. FOTO Channel Islam Int@channelislam
Agensi

Makkah: Beberapa gambar dan video menjadi tular di media sosial apabila kain kelambu Kaabah atau Kiswah hampir diterbangkan angin selepas sebahagian Makkah, Arab Saudi dilanda hujan lebat dan angin kencang, lewat petang kelmarin.

Liputan 6 melaporkan, kawasan terbabit khususnya di Masjidilharam, Mina dan Arafah dilanda cuaca buruk disertai petir itu ketika matahari mula terbenam hingga ke waktu malam.

Kejadian itu turut disaksikan oleh jemaah haji yang berada di Masjidilharam.

Kiswah berkenaan sepatutnya diganti dengan kain baharu yang menjadi kelaziman sempena hari wukuf di Arafah sebelum kawasan itu dilanda hujan dan angin kencang.

Ribut kencang turut merosakkan khemah jemaah haji yang bersedia untuk melakukan wukuf.

Petugas haji turut memberi peringatan kepada semua jemaah supaya berada dalam keadaan berjaga-jaga.

“Disebabkan cuaca kurang baik, angin kencang dan berdebu, semua jemaah haji diminta berada di dalam khemah masing-masing demi menjaga keselamatan,” kata petugas terbabit.

Tribune News melaporkan, berdasarkan satu video yang dikongsi seorang jemaah haji, tiupan angin begitu kencang hingga terdengar suara panik dalam Bahasa Arab.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Ogos 2018 @ 9:10 AM