PRIYANKA Chopra.
PRIYANKA Chopra.
Ardini Sophia Sina

Bintang Bollywood yang kini terbang tinggi di Hollywood, Priyanka Chopra semakin mengukuhkan kedudukannya sebagai pelakon kelas A di sana.

Ramai kagum melihat kanvas seni wanita berusia 36 tahun ini. Selepas menempatkan diri sebagai seorang pelakon drama Quantico, Priyanka kini melangkah lebih jauh apabila tampil di layar perak dan bergandingan dengan bintang ternama.

Bagaimanapun, apa yang mengejutkan adalah berita pertunangannya dengan bintang Disney, Nick Jonas selepas dua bulan bercinta. Khabar itu mengundang pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat.

Ia turut mencuri perhatian beberapa rakan pelakon untuk memberikan komen mengenai isu berkenaan. Ibu Priyanka, Madhu Chopra yang sempat ditemu bual mengenai perkara itu berkata, dia sendiri tidak tahu sejauh mana kebenaran cerita yang tular itu.

Cuba mendapatkan kenyataan daripada Priyanka, wanita yang sudah 15 tahun mencanai bakat sebagai pelakon itu berpegang teguh dengan prinsipnya untuk mengunci mulut daripada mendedahkan kisah peribadinya.

“Sejak dulu lagi saya kurang gemar berkongsi cerita mengenai kisah percintaan. Apa yang saya tunjukkan di alam maya itu sudah cukup. Tidak perlu bertanya lebih banyak mengenai hubungan saya.

“Saya tidak mahu dikenali kerana kisah peribadi. Bagi saya, hubungan ini sangat berharga sebab itulah saya melindunginya daripada orang luar. Saya yakin mana-mana individu juga akan bertindak sama seperti saya,” katanya.

Walaupun semakin terbuka menunjukkan perasaan cinta terhadap pasangannya di tempat umum mahupun laman sosial, Priyanka enggan memberikan lebih banyak maklumat terutama perancangan mereka untuk berkahwin.

Peminat mula menyedari Priyanka dan Jonas pasangan kekasih apabila mereka saling meninggalkan komen cinta di laman sosial masing-masing. Kemudian gambar pasangan itu makan malam bersama mula tular.

Awal bulan lalu, mereka turut dilihat bersama di India. Menurut sumber, Priyanka mengajak Jonas berkenalan dengan ibunya dan ahli keluarga yang lain.

“Ketika itu, kami masih dalam proses berkenalan dan ia pengalaman baru serta menarik buat Jonas. Dia menikmati percutiannya di sana. Saya rasa dia gembira dapat melawat negara kelahiran saya.

“Bagi saya, melancong bersama bukanlah pengukur sejauh mana hubungan yang terjalin. Melancong sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya. Ia perkara normal.

“Dua minggu sekali saya akan menaiki kapal terbang untuk pergi ke tempat lain. Adakalanya saya pergi dengan keluarga dan ada masa dengan beberapa rakan baik,” katanya.

PRIYANKA Chopra.
PRIYANKA Chopra.

Menyentuh perihal karier seninya, Priyanka mengakui berdepan banyak cabaran dan pilihan berisiko. Namun, itulah sebabnya mengapa dia memilih lakonan sebagai kerjaya.

Katanya, ketika usia remaja, dia tidak mempunyai sebarang perancangan jangka masa panjang. Wanita berusia 35 tahun itu mengambil tawaran tanpa mengetahui risiko yang perlu dihadapinya.

“Kerjaya saya penuh dengan pilihan berisiko. Namun, risiko paling besar adalah tidak mengetahui saya sebenarnya berhadapan risiko.

“Saya berlakon sebagai Sonia Roy dalam filem Aitraaz pada 2014. Saya memegang watak antagonis. Ada beberapa individu minta saya tarik diri daripada projek berkenaan.

“Saya jadi takut apabila mereka katakan saya akan terus menerus diberikan watak seumpama itu kemudian hari. Mereka mendakwa saya membuat pilihan yang salah,” katanya.

Berusaha membuat pilihan terbaik untuk kerjaya, Priyanka sekali lagi berhadapan situasi sama apabila ada yang menyarankan agar dia hanya bergandingan dengan bintang besar di Hollywood.

Semakin matang, Priyanka tidak lagi mengendahkan perkara itu kerana tidak ada sesiapa pun yang tahu apabila bercakap mengenai masa depan dan rezeki seseorang.

“Pada mulanya memang ada perasaan takut apabila diberikan nasihat sebegitu. Sekali lagi saya bimbang, adakah saya buat keputusan yang tepat?

“Bagaimanapun, tidak ada sesiapa pun tahu apa yang akan terjadi pada masa akan datang,” katanya.

Terbaru, Priyanka dikatakan akan bergandingan dengan Chris Pratt yang terkenal dengan watak Star Lord menerusi filem Cowboy Ninja Viking.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Ogos 2018 @ 4:47 AM