ZARA Zya. FOTO Nurul Shafina Jemenon
ZARA Zya. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Najiy Jefri

Pelakon Zara Zya menyifatkan pembabitannya dalam program Super Spontan Extravaganza 2018 yang bersiaran secara langsung di Astro Warna setiap Jumaat jam 10 malam bukan tugas mudah.

Zara yang berada dalam kumpulan Lobster Leleh sedar perlu lebih pantas berfikir dan berani bermain dalam setiap permainan yang diberikan.

“Pada minggu pertama saya gemuruh kerana tidak pernah berhadapan situasi ini. Walaupun sudah mengikuti latihan, sebaik bersiaran saya rasa serba tidak kena. Saya perlu berfikir dengan pantas.

“Tidak dinafikan kebanyakan pelawak memiliki idea lawak yang pantas membuatkan saya sukar untuk ikut rentak mereka, tetapi cuba juga mengambil bahagian dalam semua permainan,” katanya.

Minggu kedua Super Spontan Extravanganza minggu lalu menyaksikan penyingkiran seorang ahli Lobster Leleh iaitu Jaa Suzuran apabila kumpulan itu meraih undian terendah.

Zara yang masih terselamat mengaku berdebar namun pada masa sama tertekan memandangkan program ini pertandingan.

“Pada mulanya saya rasa program ini sekadar suka-suka, tetapi apabila melalui sendiri serta melihat corak permainan baru saya sedar ia pertandingan.

“Saya tertekan, tetapi ini pengalaman baru. Andai tersingkir awal, saya masih bergelar pelakon dan tidak keluar dengan tangan kosong kerana banyak ilmu yang dikutip,” katanya.

Kata Zara, biarpun ramai meletakkan harapan tinggi terhadap dirinya dalam pertandingan itu apabila dilabelkan sebagai aktres yang pandai bermain dengan pelbagai emosi, dia tidak boleh memuaskan hati semua orang.

“Saya masuk pertandingan ini bukan untuk buktikan diri hebat atau mampu bersaing dengan peserta lain. Perlu diingat saya bukan pelawak.

“Bagi saya cukup sekadar orang terhibur dan ketawa melihat saya. Bagaimanapun, saya selalu berusaha berikan yang terbaik. Ramai tahu saya suka bergurau tetapi pertandingan ini memerlukan kita berfikir secara spontan dan pantas. Ia bukan mudah buat saya,” katanya.

Ditanya mengenai sesetengah selebriti yang tidak bersetuju apabila ada artis melakukan parodi dan tarian ‘keke challenge’ yang kian tular hari ini, Zara berkata, itu bukan satu isu besar sebaliknya hanya sekadar hiburan.

Baru-baru ini Zara memuat naik video parodi menyanyi sambil menangis seperti yang dilakukan seorang kanak-kanak perempuan yang tular di media sosial.

“Saya tidak boleh nafikan orang Malaysia sukakan hiburan. Jika dengan video parodi atau cabaran yang dilakukan mampu menarik hati peminat untuk mengikuti perkembangan seseorang artis itu, saya rasa ia bukan masalah besar.

“Lagipun, ‘keke challenge’ atau parodi bukanlah sesuatu yang teruk. Ia sekadar hiburan semata-mata. Namun, jika perkara itu mendatangkan kemudaratan tidak perlulah orang ramai ikut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 8:55 AM