NURZAFIRAH bersama ibu bapanya. FOTO Rohanis Shukri
NURZAFIRAH bersama ibu bapanya. FOTO Rohanis Shukri
Mahaizura Abd Malik

Ampang: Kehidupan ceria Nurzafirah Atan, 17, seakan-akan bernoktah apabila dia yang sebelum ini sihat seperti remaja lain disahkan menghidap Limfoma Hodgkin atau kanser darah tahap dua.

Siapa sangka kerap jatuh sakit, lesu dan demam sejak usianya 15 tahun menjadi petanda awal dia rupa-rupanya menghidap penyakit bahaya itu.

Remaja itu juga terpaksa memohon penangguhan persekolahannya kerana kerap berulang dari rumahnya di FELDA Bukit Aping Timur, Kota Tinggi ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru bagi menjalani pelbagai rawatan disyorkan pakar perubatan demi kelangsungan hidupnya.

Dalam sebulan sekurang-kurangnya dua kali dia akan keluar masuk wad, malah tempoh itu berlanjutan hingga tiga minggu lamanya apabila keadaan kesihatannya merosot seperti demam atau batuk.

Namun, berkat iringan doa dan dorongan rakan, guru dan ahli keluarga termasuk ibu bapanya, Nurzafirah kini kuat melawan penyakitnya, malah kecekalan hati remaja berjiwa besar ini dapat disaksikan apabila berhasrat meneruskan persekolahan yang tertangguh biarpun kini sel kanser sudah merebak ke bahagian paru-paru.

Nurzafirah berkata, biarpun keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan membuatkan dia terpaksa melupakan seketika hasrat menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, namun keinginannya ke sekolah sentiasa membuak-buak.

“Sudah hampir dua tahun saya tidak ke sekolah, memang terasa rindu. Kadangkala saya cemburu melihat rakan sebaya boleh ke sekolah macam biasa berbanding saya yang kurang bernasib baik.

“Namun, saya positifkan diri meneruskan rawatan kemoterapi yang menyakitkan supaya apabila sembuh kelak, saya boleh teruskan pelajaran yang tertangguh.

“Jika Allah izinkan umur saya panjang, saya ingin tebus kembali pelajaran yang tertinggal supaya saya boleh menjadi doktor dan dapat mengubah nasib keluarga,” katanya yang sedang menjalani satu prosedur rawatan di Hospital Ampang, di sini.

Ibunya, S Zamzilah Sarijo, 46, berkata, keadaan anak bongsunya itu tidak banyak berubah biarpun sudah menjalani pembedahan kecil membuang kelenjar pada lehernya selain dua jenis rawatan kemoterapi.

NURZAFIRAH diziarah saudara-mara ketika dirawat di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru. FOTO NSTP
NURZAFIRAH diziarah saudara-mara ketika dirawat di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru. FOTO NSTP

“Dia sudah menjalani rawatan kemoterapi ABVD sebanyak 12 kali, namun berita yang kami terima pada hari raya keempat lalu amat mengecewakan apabila selnya belum mati malah merebak ke paru-paru.

“Doktor mengesyorkan rawatannya dilanjutkan kepada kemoterapi lebih kuat (ICE Chemotherapy) sebelum menjalani pemindahan sel stem di HSA, bulan depan,” katanya.

Menurutnya, keinginannya untuk melihat satu-satunya puteri kesayangannya itu sembuh tidak pernah luntur, namun mengakui kekangan kewangan menjadi halangan utama untuk meneruskan rawatan selanjutnya.

“Di samping menjalani beberapa prosedur kemoterapi yang ditanggung sepenuhnya kerajaan, pakar turut mengesyorkan anak kami mengambil ubat Brentuximab untuk mengelak sel kansernya terus merebak.

“Empat botol ubat itu berharga RM60,000 yang perlu ditanggung sendiri. Biarpun pihak HSA ada mengatakan akan cuba memohon dana daripada pihak lain, tiada jaminan malah mereka turut mengesyorkan kami berusaha mencari dana sendiri jika ingin cepat memperoleh ubat itu,” katanya yang mempunyai empat anak.

Katanya, dia dan suaminya, Atan Ngadi, 54, hanya bekerja sendiri sebagai peniaga putu bambu kecil-kecilan di pasar malam di sekitar kawasan FELDA di Kota Tinggi.

“Sejak anak kami sakit, kami kerap tidak berniaga malah banyak wang kami habis untuk kos ulang-alik ke hospital. Kami bukan orang senang, dengan pendapatan sehari sekitar RM50, mana mungkin dapat sediakan wang sebanyak itu dalam masa singkat.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh memasukkan ke akaun Nurzafirah di BSN, 01200-29-00041409-3.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Jun 2018 @ 4:58 AM