AFP

PEMANDU teksi yang dituduh merogol dan mengugut wanita Jepun berhampiran destinasi pelancongan terkenal India, sudah ditahan, kata polis semalam.

Dalam kejadian Rabu lalu, pelancong berusia 30 tahun itu berkata, dia menahan teksi di Manali, sebuah bandar pelancongan di kaki pergunungan Himalaya, untuk melawat bandar bersebelahan.

Sebaliknya, pemandu terbabit membawanya ke lokasi terpencil di hutan dan bertindak merogolnya dalam teksi itu, kata polis.

“Wanita itu berkata, dia terpaksa merelakan dirinya dirogol selepas pemandu memberitahu jika dia menolak, lelaki itu akan memanggil rakan untuk merogolnya secara beramai-ramai,” kata Ketua Polis Serantau, Shalini Agnihotri kepada AFP.

Wanita itu membuat laporan polis selepas diturunkan di bandar berhampiran, kata Agnihotri, menambah ujian perubatan mengesahkan mangsa dirogol.

Pemandu itu yang juga penduduk Manali ditahan polis kelmarin, berdasarkan keterangan diberi wanita itu, yang mengesahkan identiti pelaku.

Beberapa pelancong asing diserang secara seksual di Manali sejak beberapa tahun lalu. Seorang wanita Israel berusia 25 tahun dirawat di hospital pada 2016 selepas dirogol dua lelaki di bandar itu sementara pada 2013, seorang wanita Amerika Syarikat dirogol tiga lelaki selepas menerima pelawaan menaiki trak perogol. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Jun 2018 @ 8:55 AM