TENGKU Zaihan (tengah) bersama pelajar dan guru ketika menghantar tiga pelajar SMK Kuala Besut ke Korea di KLIA2, semalam.
TENGKU Zaihan (tengah) bersama pelajar dan guru ketika menghantar tiga pelajar SMK Kuala Besut ke Korea di KLIA2, semalam.
Mohammad Ishak


Jertih: Tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut di sini, terpilih untuk mewakili Malaysia ke Pertandingan Akhir Projek Nuklear di Gyeongju, Korea Selatan.

Ketiga-tiga mereka, Muhammad Syazwan Mat Sidik, 19; Muhammad Anuar Abd Ghani, 19, dan Safyyah Muhammad Nasir, 18, yang turut diiringi guru pengiring Wan Zul Azri Wan Mohd Shatar, selamat tiba di negara berkenaan, kelmarin.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman berkata, pelajar terbabit terpilih mewakili negara untuk bersaing dengan pelajar dari 300 sekolah di seluruh dunia dalam pertandingan berprestij itu.

“Pelajar terbabit akan mengetengahkan tema mengenai kebaikan kuasa nuklear dengan tajuk persembahan ‘100 things about Nuclear Science And Life” ( 100 perkara mengenai Sains Nuklear dan Kehidupan).

“Mereka sememangnya berminat dalam bidang nuklear dan menyertai pertandingan berkenaan selepas mendapat tahu Agensi Nuklear Malaysia membuka penyertaan kepada sekolah-sekolah seluruh negara pada pertengahan tahun lalu,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut.

Tengku Zaihan berkata, PIBG sekolah berkenaan amat berbangga dengan kemampuan ketiga-tiga pelajar sehingga terpilih mewakili negara ke pertandingan berkenaan.

Katanya, Malaysia terpilih antara lima negara ke peringkat akhir Pertandingan Projek Nuklear yang akan berlangsung di Gyeongju, Korea Selatan pada 31 Mei ini.

“Alhamdulillah, tiga peserta yang mewakili Malaysia ke pertandingan akhir itu adalah pelajar SMK Kuala Besut.

“Lebih membanggakan, sekolah ini hanya sekolah menengah harian biasa yang terletak di luar bandar di perkampungan nelayan, tetapi mampu terpilih mewakili negara untuk bertanding di peringkat dunia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mei 2018 @ 8:40 AM