DEJA (kanan) ketika hadir pada prosiding permohonan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Timur, hari ini. FOTO Hafiz Sohaimi
DEJA (kanan) ketika hadir pada prosiding permohonan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Timur, hari ini. FOTO Hafiz Sohaimi
Nor Azura Abdul Jalil


PENYANYI Deja Moss dan suaminya Azfendy Azzuddin Ahmad diperintahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, hari ini supaya melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes permohonan perceraian mereka.

Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin memerintahkan demikian selepas kes itu disebut di hadapannya di dalam kamar dengan dihadiri kedua-dua pihak.

Pada prosiding itu, Azfendy tidak diwakili peguam, manakala Deja diwakili peguam syarie Halimatunsa'diah Abu Ahmad.

Permohonan cerai secara baik itu difailkan Azfendy pada 5 Mac lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Mahkamah kemudian menetapkan 11 Julai ini untuk mendengar laporan JKP.

Dalam proses perceraian, JKP terdiri daripada anggota keluarga yang rapat dengan pasangan terbabit bertujuan memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian.

Ketika ditemui media di luar mahkamah, Halimatunsa'diah memaklumkan pihaknya selaku defendan memohon supaya satu JKP dilantik bagi memberi peluang kepada kedua-dua pihak berbincang dengan lebih mendalam sebelum sebarang keputusan dibuat.

Sementara itu, Deja pula berkata, terdapat banyak perkara yang belum diluahkan dan mereka berharap boleh mencari jalan perdamaian dengan JKP yang akan dilantik itu.

“Kita cari jalan perdamaian dulu, kalau memang sudah tiada perdamaian, baru kita pergi ke peringkat seterusnya,” katanya.

Katanya, suaminya juga menyekatnya dalam semua medium menyebabkan dia tidak dapat berkomunikasi dengan Azfendy.

Media sebelum ini melaporkan, Deja memberitahu suaminya keluar rumah pada 27 September 2017, dan sejak dari itu mereka tidak lagi berhubung.

Deja dan Azfendy berkahwin pada 30 Ogos 2008, namun belum dikurniakan anak.

Berita berkaitan

Deja Moss sedia hidup solo

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mei 2018 @ 3:36 PM