JANNA Nick. FOTO Halimaton Saadiah
JANNA Nick. FOTO Halimaton Saadiah
Michelle Gun dan Najiy Jefri

Mengakui hatinya masih belum dimiliki, pelakon cantik Janna Nick enggan terburu-buru mencari pasangan hidup.

Malah, Janna memberitahu tidak berminat mendekati lelaki kaya kerana tidak mahu dianggap wanita mudah dibeli dengan wang.

Janna berkata, dia seboleh-bolehnya cuba menjauhkan diri daripada golongan itu dan lebih selesa mencari lelaki yang sederhana kerana percaya wang ringgit bukan jaminan kebahagiaan rumah tangga.

“Saya tidak pernah meletakkan sasaran berkahwin dengan lelaki kaya. Malah saya tidak bergaul dengan golongan itu.

“Mereka dapat rasakan saya sukar dijerat dengan kemewahan,” jelasnya.

Kata Janna, jika pintu hatinya sudah terbuka untuk berkahwin, dia lebih selesa memilih lelaki yang rajin atau gaya hidup lebih kurang sama dengannya.

“Kalau tak dapat lelaki kaya, dapat yang rajin pun sudah okay bagi saya.

“Sekurang-kurangnya, dia boleh membantu bisnes saya. Kalau malas saya ‘tendang’ saja,” katanya yang kini sibuk dengan penggambaran drama Hingga ke Jannah bergandingan dengan Fahrin Ahmad.

Pemilik nama sebenar Nurul Jannah Muner itu turut memaklumkan dia akan menyambut lebaran di Russia sempena Piala Dunia FIFA 2018.

“Saya akan terbang ke Russia sebelum sambutan Aidilfitri atas urusan kerja dengan jenama telefon pintar Vivo.

“Mengikut jadual, saya akan berkampung di negara itu selama lapan hari.

“Keluarga tiada masalah kerana faham saya perlu ke sana atas urusan kerja,” katanya.

Walaupun terpaksa berjauhan dengan keluarga, heroin drama bersiri My Coffee Prince itu memberitahu teruja dapat menyaksikan Piala Dunia FIFA 2018 secara langsung.

“Ini kali pertama saya menyambut Aidilfitri di luar negara dan tidak sabar merasai pengalaman itu.

“Sebagai peminat bola sepak, saya gembira diberi peluang merasai pengalaman menyaksikan perlawanan besar itu.

“Sepanjang berada di Russia, saya perlu melakukan beberapa aktiviti disediakan Vivo,” katanya.

Menurut Janna lagi, selepas Aidilfitri, dia akan menyertai kelas vokal sebagai persediaan rakaman single ketiga.

Selain itu, dia akan meneruskan penggambaran drama Hingga Ke Jannah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mei 2018 @ 4:41 AM