SUHAILAH (kiri) dan Abdullah Fahmi menunjukkan piala masing-masing. FOTO Aswadi Alias
SUHAILAH (kiri) dan Abdullah Fahmi menunjukkan piala masing-masing. FOTO Aswadi Alias
Yusmizal Dolah Aling


“Memang saya bercita-cita untuk menjadi johan dalam pertandingan tilawah al-Quran tetapi saya tidak sangka sampai ke tahap antarabangsa. Ia satu pengalaman manis dan Insya-Allah, saya akan terus belajar.

“Mungkin selepas ini saya akan menyertai pertandingan tilawah al-Quran di luar negara. Pada masa sama, saya akan belajar taranum lagi dan memperbaiki bacaan,” kata qariah Malaysia, Suhailah Zulkifly.

Dengan catatan 92.05 markah, dia diumumkan sebagai johan qariah kategori tilawah Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-60, malam kelmarin, sekali gus satu catatan sejarah buat dirinya.

Katanya, persediaan rapi daripada sudut latihan dengan bantuan guru banyak membantu dirinya agar dapat memperdengarkan bacaan dengan baik.

"Sebelum ini pada hari bekerja, saya peruntukkan dua jam iaitu di waktu malam untuk latihan dan persediaan tetapi untuk MTHQA ini, saya peruntukan lebih lagi iaitu dari 9 pagi hingga 1 tengah hari dan 2 petang hingga 5 petang.

"Ketika dalam pertandingan, barulah saya lebih menumpukan kepada persediaan mental kerana setiap pertandingan ada cabarannya tersendiri. Semuanya hebat belaka terutama qariah dari Indonesia" katanya.

Suhailah bersama qari senegara, Abdullah Fahmi Che Nor yang turut muncul johan membawa pulang kepingan emas bernilai RM70,000, piala iringan dan wang tunai RM40,000.

Kedua-dua mereka adalah johan qariah dan qari Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan, bulan lalu.

Sementara itu, Abdullah Fahmi berkata, didikan ibu bapa sejak kecil banyak membantunya untuk memperbaiki bacaan selain berusaha memastikan sebutan yang tepat serta makhraj yang betul.

"Saya juga mengambil masa untuk memperkemaskan bacaan dan memberi tumpuan kepada persiapan. “Alhamdulillah, saya menang dan insya-Allah, saya akan teruskan usaha memartabatkan al-Quran," katanya yang dinobatkan johan Pertandingan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Moscow, Russia kali ke-17 pada 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mei 2018 @ 12:28 AM