NIKKI banyak terbabit teater muzikal.
NIKKI banyak terbabit teater muzikal.
Georgie Joseph


Suatu ketika dulu, Nikki Palikat antara penyanyi yang disegani ramai. Dilahirkan daripada program Malaysian Idol musim pertama pada 2004, kariernya berkembang dengan baik.

Bagaimanapun, Nikki, 32, memperlahankan kariernya selepas berkahwin dengan komposer Audi Mok pada 2009. Perlahan-lahan namanya kian sepi.

Kini, wajahnya tidak kelihatan di kaca TV dan akhbar. Sehinggakan, peminat rasa rindu dan tertanya-tanya apa sudah berlaku kepada penyanyi yang popular dengan lagu Caramu itu.

Penyanyi kelahiran Tambunan, Sabah itu berkata dia masih aktif menyanyi dan tidak pernah menghilang.

“Selepas berkahwin dan memiliki cahaya mata pada 2010, saya memutuskan untuk berehat. Saya mahu mahu menjaga sendiri anak saya, Liam.

“Ketika itu saya tidak yakin untuk membiarkan pembantu rumah menjaga Liam. Jadi, saya tidak kisah mengorbankan seketika karier dan berbaloi melihat anak membesar depan mata,” katanya.

Pada 2014, Nikki kembali aktif menerima tawaran namun lebih kepada teater muzikal.

Nikki berkata, dia puas beraksi di pentas dan mula jatuh cinta dengan pementasan muzikal.

“Di situlah sebenarnya saya mencurahkan segala bakat hingga ke hari ini. Saya dapati jiwa saya lebih kepada teater muzikal dan kecintaan itu semakin mendalam.

“Menerusi teater muzikal, saya dapat mengekpresikan lebih banyak perasaan sebagai pelakon dan penyanyi. Saya sedar itulah sebenarnya yang saya mahukan apabila dapat bercerita kepada penonton.

“Sejak itu, saya semakin aktif dengan teater muzikal namun pada masa sama masih menjayakan persembahan korporat,” katanya.

Nikki bagaimanapun tidak menafikan ramai peminat sentiasa berharap dia kembali mewarnai industri muzik tempatan. Dia juga mengakui rindu untuk kembali namun masih menunggu masa sesuai.

“Ramai minta saya aktif semula di arus perdana. Kebelakangan ini ramai minta saya menyertai pertandingan Gegar Vaganza.

“Ia membuatkan saya bersemangat untuk menyertai program ini. Lagipun, kali terakhir saya bertanding adalah ketika menyertai Malaysian Idol.

“Saya teruja memandangkan sudah ada pengalaman sebagai penyanyi. Selain itu, saya tahu apa yang saya inginkan dalam persembahan dan mahu menggunakan ia sebaik-baiknya jika ada peluang nanti,” katanya.

Berkongsi mengenai karier muzik, Nikki tidak menolak kemungkinan kembali aktif dalam arus perdana suatu hari nanti.

Bagaimanapun, menurutnya dia mahu kembali sebagai penyanyi yang jauh lebih matang dan tahu kehendak diri.

“Sewaktu mula menceburi bidang ini dulu, saya terlalu mentah dan tiada ilmu sebagai penyanyi. Kebanyakan lagu yang saya nyanyikan adalah daripada orang lain.

“Sekarang, saya mahu tampil dengan karya yang lebih menggambarkan diri sebenar serta ikut jiwa saya. Saya pun dalam proses menghasilkan lagu sendiri dan sedang mengumpul material.

“Meskipun ramai minta saya menyanyikan lagu ciptaan suami, ia tidak semudah itu. Saya mahu buat sesuatu yang lahir dari jiwa sendiri dan paling penting tidak tipikal serta muziknya segar,” katanya.

Nikki pernah menghasilkan dua album berjudul Maharani dan Pinta sebelum ini. Dia juga pernah meledak menerusi lagu Drama bergandingan dengan Ning Baizura dan Allahyarham Yanie.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mei 2018 @ 12:21 PM