Aziz M Osman raih Anugerah Filem Kesedaran Sosial Terbaik menerusi filem Anak Merdeka. FOTO MAHZIR MAT ISA/Twitter Aziz M Osman
Aziz M Osman raih Anugerah Filem Kesedaran Sosial Terbaik menerusi filem Anak Merdeka. FOTO MAHZIR MAT ISA/Twitter Aziz M Osman
Ridzuan Abdul Rahman


PENGARAH terkenal, Aziz M Osman, 55, menyifatkan kemenangan diraih menerusi filem Anak Merdeka pada Norway Tamil Film Festival di Oslo, Norway satu penghormatan sepanjang kariernya sebagai anak seni.

Berita gembira Aziz muncul pemenang kategori filem Kesedaran Sosial Terbaik pada festival dikongsi kepada peminat menerusi Twitternya.

"Ia satu pencapaian untuk kita rakyat Malaysia di mana kita mampu menang di peringkat antarabangsa," katanya ketika dihubungi oleh Harian Metro.

Anak Merdeka membariskan gandingan pelakon Remy Ishak dan Tiz Zaqyah serta beberapa pelakon lain memenangi anugerah bagi kategori Filem Kesedaran Sosial Terbaik.

"Saya sendiri tidak pasti bagaimana perjalanan festival filem ini, tetapi penerbit Anak Merdeka iaitu Angsana Production, yang memberitahu berita gembira ini kepada saya.

"Anak Merdeka diarahkan oleh saya menggunakan lokasi Pinewood Studio di Johor.

"Ia berkisar mengenai perjuangan menuntut kemerdekaan dari era 1950-an sehingga era millenium tahun 2000," katanya.

Aziz pernah menghasilkan beberapa filem pecah panggung antaranya Senario The Movie berkata, Anak Merdeka dihasilkan sebanyak enam episod dan dia diberi kepercayaan mengarahkan episod pertama.

"Setiap episod menampilkan pengarah berbeza antaranya Kabir Bhatia. Skrip Anak Merdeka arahan saya ditulis oleh Mira Mustaffa.

"Filem itu ditayangkan menerusi Astro sempena sambutan kemerdekaan tahun lalu

"Kemenangan ini bukan milik saya seorang sebaliknya milik semua pengarah, pelakon dan pasukan produksi yang terbabit dalam siri ini," katanya.

Aziz berkata, hadiah untuk pemenang semua kategori akan diberikan pada hujung Mac dan dia belum pasti siapa yang akan mewakili dirinya.

“Saya serahkan perkara ini kepada penerbit kerana jadual yang padat menyukarkan saya untuk hadir menerima hadiah.

"Saya tidak kisah apa bentuk hadiah yang diterima kerana kemenangan ini sudah cukup bagi mengiktiraf hasil kerja yang dibuat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Mac 2018 @ 9:31 PM