MUHAMMAD Syauqellah (kanan) bersama Zainab dan abangnya, Muhammad Shahrul Aiman, 20, menziarahi pusara bapanya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu selepas mendapat keputusan 11A dalam SPM. FOTO Rozainah Zakaria
MUHAMMAD Syauqellah (kanan) bersama Zainab dan abangnya, Muhammad Shahrul Aiman, 20, menziarahi pusara bapanya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu selepas mendapat keputusan 11A dalam SPM. FOTO Rozainah Zakaria
Aslina Abu Bakar


“MEMANG menjadi niat saya, jika mendapat keputusan 11A, orang pertama saya akan maklumkan adalah arwah bapa,” kata calon cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Muhammad Syauqellah Razali, 18, dari Kampung Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu.

Katanya, walaupun kini dia sudah tidak dapat melihat ayahnya, namun dia yakin arwah ayahnya itu pasti dapat melihatnya dan gembira dengan kejayaan diperolehnya.

"Selepas kematian ayah dua tahun lalu, saya nekad untuk berusaha lebih kuat dalam pelajaran. Malah saya jadikan ia sebagai pembakar semangat untuk terus cemerlang demi mengubah nasib keluarga.

"Sebaik diumumkan calon cemerlang, saya terus teringatkan arwah ayah dan melawat pusaranya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Tok Nasek selepas majlis penyampaian hadiah selesai di sekolah," kata anak ketiga dari empat beradik itu.

Dia yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malik berkata, memandang dia bukan datang daripada keluarga senang, dia perlu berusaha sendiri dan pendidikan adalah aset penting buatnya untuk mengubah nasib keluarga serta berbakti kepada ibunya, Zainab Yusof, 49.

"Sejak kematian bapa, ibulah yang menyara kehidupan kami sekeluarga dengan bekerja sebagai guru KAFA.

"Melihat kesungguhan ibu membesarkan kami tanpa seorang suami membuatkan semangat saya untuk cemerlang semakin berkobar-kobar, sebab itu ketika berada di dalam kelas, saya akan memberi tumpuan sepenuhnya ketika cikgu mengajar," katanya.

Sementara itu, Calon Berkeperluan Khas (CBK), Ahmad Izzat Sohame@Suhaimi, 18, dari SMK Kuala Telemong, Hulu Terengganu berkata, masalah disleksia bukan alasan buatnya untuk sama-sama berjaya seperti pelajar lain.

"Setiap kali mengulang kaji pelajaran, saya memerlukan seseorang untuk membimbing dan memberi semangat.

"Mujurlah keluarga amat memahami dan sentiasa berada disamping ketika saya mengulang kaji pelajaran," kata anak ketiga daripada empat beradik itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Mac 2018 @ 6:05 PM