Farah Marshita Abdul Patah


EMPAT lelaki termasuk dua beradik didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang, hari ini atas tuduhan melakukan rogol berkumpulan dan seks luar tabii terhadap kerani yang juga kenalan mereka, akhir bulan lalu.

Tertuduh, Muhd Zulhusni Shoeb, 23; Nurluqman Hanif Norhisam, 20, masing-masing bekerja sebagai jurujual telepemasaran dan penjual burger, Muhammad Amer Redzuan Mohd Tahir, 19, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua mereka didakwa melakukan rogol berkumpulan terhadap mangsa berusia 20 tahun di sebuah rumah di Jalan Pandan Cahaya 2/1, Taman Pandan Ria, di sini, 10.30 malam, pada 28 Februari lalu.

Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun, jika sabit kesalahan.

Ketiga-tiga mereka secara berasingan juga dituduh merogol mangsa sama di tempat sama, antara 9 dan 10 malam, pada 28 Februari lalu dan didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Sementara itu, Mohd Zulhusni dan Muhammad Amer, masing-masing turut didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan melakukan seks luar tabii terhadap mangsa, di tempat sama, antara 10.40 dan 10.50 malam, pada 28 Februari lalu.

Manakala, Nurluqman Hanif didakwa atas dua tuduhan menggunakan kekerasan jenayah dengan melakukan seks luar tabii terhadap mangsa, di tempat sama, antara jam 10.45 dan 10.55 malam, pada 28 Februari lalu.

Adik Nurluqman Hanif iaitu Nurluqman Daniel, 19, turut dituduh melakukan kesalahan sama terhadap mangsa, di tempat sama, 10.55 malam, pada 28 Februari lalu.

Bagi kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan, yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, N Joy Jothi, tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam, kerana kesalahan itu tidak dibenarkan jamin

Mahkamah kemudian tidak membenarkan jaminan terhadap kesemua tertuduh dan menetapkan 12 April ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Mac 2018 @ 2:01 PM