MARIA mencipta resipi biskut ‘alien’ bagi menggantikan coklat yang digemari dua anaknya.
MARIA mencipta resipi biskut ‘alien’ bagi menggantikan coklat yang digemari dua anaknya.
Kalidevi Mogan Kumarappa


BISKUT ‘alien’ (makhluk asing) dihasilkan seorang ibu untuk menggantikan coklat kegemaran dua anaknya menjadikan wanita itu popular di media sosial dalam sekelip mata, selepas gambar biskut berbentuk aneh yang tular menarik perhatian netizen.

Pemilik resipi biskut alien, Maria Mastar, 28, berasal dari Kota Tinggi, Johor berkata, sebelum ini anak pertama dan keduanya gemar memakan coklat berbentuk piramid menyebabkan dia risau mengenai tahap kesihatan dua beradik berkenaan.

Berikutan itu, ibu kepada tiga anak termasuk bayi berusia dua hari itu menghasilkan biskut berbentuk ‘tear drop’ (titisan air mata) yang seakan-akan bentuk coklat menjadi kegemaran dua beradik berkenaan.

“Saya hanya menggunakan empat bahan iaitu mentega, susu pekat manis, tepung jagung dan susu tepung yang murah serta senang diperoleh di pasaran.

“Percubaan pertama untuk membuat biskut berkenaan bermula pada 22 Februari lalu bagi melayan permintaan anak selepas melihat gambar makanan itu di media sosial.

“Selepas siap dibakar, bentuknya berubah sedikit malah kakak saya memberitahu ia menyerupai alien. Kemudian, saya berkongsi resipi itu di dalam kumpulan ‘Masak Apa Hari Ini’ di Facebook,” katanya.

Suri rumah itu berkata, dia memang kerap berkongsi resipi masakan di dalam kumpulan terbabit, namun tidak pernah tular seperti biskut alien.

“Sudah menjadi kegemaran saya mencuba resipi baru, kemudian diubah mengikut kesesuaian. Biskut alien sebenarnya biskut susu, tapi saya menggunakan bentuk yang menjadi kesukaan kanak-kanak,” katanya.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai resipi biskut itu, Prof Zamzani Abdul Wahab (Chef Zam) berkata, empat bahan asas digunakan dalam resipi itu selain bentuknya yang unik menyebabkan ia cepat tular di media sosial.

“Bahan asas yang murah sesuai dengan bajet sekarang menyebabkan ramai mahu mencuba. Namun, kegagalan sesetengah suri rumah dalam menghasilkan biskut itu mencuit hati ramai orang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Mac 2018 @ 10:08 PM