Zulkiple  (tengah) bersama sebahagian daripada anggota wanita yang menyertai ujian kemahiran.
Zulkiple (tengah) bersama sebahagian daripada anggota wanita yang menyertai ujian kemahiran.
Kalidevi Mogan Kumarappa


Kuala Lumpur: Pembabitan wanita dalam perjuangan mempertahankan tanah air bukanlah sesuatu yang baru. Malah lipatan sejarah membuktikan srikandi tanah air turut berjuang dalam mempertahankan negara dengan menyarung pakaian seragam masing-masing.

Namun apabila disebut acara lasak dalam pasukan pertahanan negara, kebiasaannya ia akan didominasi oleh pegawai dan anggota lelaki.

Bagi membuktikan anggota wanita atau pranita mampu terbabit dalam aktiviti lasak seperti lelaki dalam pasukan, anggota wanita Tentera Darat Malaysia (TDM) menyertai Pertandingan Ujian Kemahiran Merentas Halangan dan Kawad (UKMHK) 2018 bermula 19 Februari hingga kelmarin.

Meskipun ini edisi kedua pertandingan disertai pranita namun ketangkasan dan keupayaan mereka dilihat salah satu elemen kekuatan pasukan TDM.

Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim yang merasmikan acara penutup UKMHK berkata, pranita membuktikan mereka mampu bergerak seiring dengan anggota lain.

“Dalam TDM anggota wanita tidak harus dilihat sebagai anggota sampingan. Mereka juga tentera yang dilatih dan pertandingan ini memberi peluang membuktikan keupayaan mereka.

“Mereka berjaya membuktikan bahawa mereka turut mampu bergerak seiring dengan anggota lain,” katanya.

Pertandingan tahunan sejak awal 1990-an dan menjadi ujian kepada peserta yang mewakili setiap formasi TDM.

“Pertandingan ini menguji keupayaan anggota dan ketua pasukan mereka. Di samping menguji kekuatan fizikal, UKMHK turut menguji dari segi mental, keupayaan seorang ketua menyampaikan arahan dalam keadaan yang mencabar,” katanya.

Zulkiple menyatakan pertandingan berkenaan menuntut daya usaha serta kewibawaan tinggi sama ada dari kalangan peserta mahupun di pihak pengurusannya.

“Ini kerana pertandingan seumpama ini memerlukan perancangan terperinci dan keupayaan mengolah strategi serta cara laksana yang luar dari praktis biasa,” katanya.

Beliau menjelaskan kekalahan dalam pertandingan bukan bererti pasukan terbabit tidak gagah mahupun kurang hebat namun ia berkemungkinan akibat strategi kurang tepat ataupun pelaksanaan kurang berkesan.

“Apa yang lebih penting semangat setia kawan, kerjasama tinggi, semangat ingin berlawan dan kesungguhan untuk menang yang dipamerkan mengatasi segalanya,” katanya.

Lebih 800 anggota TDM menyahut cabaran UKMHK 2018 di Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Program berkenaan menyaksikan tiga acara utama seperti kawad kaki, rempuh halangan serta menembak dipertandingkan.

Jumlah berkenaan merangkumi tujuh pasukan tempur, sembilan pasukan bantuan tempur, sembilan pasukan bantuan khidmat dan 10 pasukan wanita dari seluruh formasi TDM.

Pertandingan disertai 10 formasi dari seluruh TDM bertujuan membina ketahanan mental dan fizikal, semangat kepercayaan kepada diri sendiri dan anggota dalam kumpulan.

Selain itu, ia memupuk disiplin serta perpaduan dikalangan individu dan kumpulan serta memupuk semangat espirit de corp.

Dalam majlis penutup yang disempurnakan Zulkiple, Formasi 1 Divisyen dinobatkan sebagai juara UKMHK 2018 bagi Kategori Pasukan Tempur manakala juara bagi Kategori Pasukan Bantuan Tempur disandang oleh Formasi 4 Divisyen.

Formasi Trup Tentera Darat 1 menyandang juara bagi Kategori Bantuan Khidmat manakala juara kategori wanita disandang Formasi 4 Divisyen.

Selain itu, Trup Tentera Darat 1 dijulang sebagai juara keseluruhan UKMHK Peringkat Tentera Darat 2018.

Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi, Ketua Staf Tentera Darat Mejar Jeneral Datuk Redzuan Baharuddin, panglima-panglima Formasi dan pegawai-pegawai kanan TDM.

Sama seperti tahun sebelum ini, ujian ketahanan fizikal, mental serta semangat pasukan perlu dilalui oleh setiap pasukan untuk menguatkan ikatan kesefahaman antara satu sama lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2018 @ 6:24 AM