WAKIL pelajar USIM Darul Quran  ketika misi kemanusiaan Harapan Untuk Syria bersama Muslim Care.
WAKIL pelajar USIM Darul Quran ketika misi kemanusiaan Harapan Untuk Syria bersama Muslim Care.
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: “Sebaik melihat sendiri penderitaan rakyat Syria yang hidup serba kekurangan dan terpaksa mengharapkan ihsan pihak lain, ianya memberi 1001 pengajaran dan makna sebenar untuk kita bersyukur.”

Demikian luahan wakil pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Darul Quran (DQ) Muhammad Fahmi Arshad, 23, yang berkesempatan menyertai misi kemanusian Harapan Untuk Syria’ dengan kerjasama Muslim Care Malaysia Soceity (Muslim Care) di negara bergolak itu, baru-baru ini.

Muhammad Fahmi berkata, kehidupan mereka serba kekurangan, malah terpaksa tinggal di khemah pelarian selain tidak mempunyai kemudahan infrastruktur yang lengkap.

“Sebelum ini, saya hanya melihat penderitaan rakyat Syria di akhbar atau media elektronik sahaja, namun sepanjang menyertai misi kemanusiaan beberapa minggu lalu, ia benar-benar memberi kesan kepada saya.

“Saya sangat terharu mendengar kisah anak-anak kecil pelarian Syria yang terpaksa hidup dalam serba kekurangaan, malah ramai yang sudah kehilangan orang tersayang termasuk ibu bapa.

“Namun mereka tetap bersyukur dan tabah menghadapi ujian Allah serta meneruskan kehidupan seperti biasa. Biarpun mereka masih kanak-kanak, ketabahan serta keredaan mereka terhadap takdir Ilahi mengatasi kita semua,” katanya kepada Harian Metro.

Fahmi berkata, ramai dalam kalangan kanak-kanak pelarian yang sudah kehilangan ibu bapa atau adik beradik lain berikutan konflik yang tercetus sejak 2014.

“Konflik di Syria sememangnya mempunyai tempat istimewa di hati kami sebab Rasulullah pernah bersabda bahawa tanah Syam itu adalah bumi yang diberkati.

“Walaupun saya tidak menjejakkan kaki ke tanah Syam namun membantu rakyat negara itu sudah cukup memadai dan sebenarnya banyak perkara yang perlu dipelajari daripada rakyat atau kanak-kanak Syria ini,” katanya.

Menurutnya, biarpun konflik melanda negara mereka sehingga memusnahkan kampung halaman atau meragut orang yang mereka sayang, namun rata-rata rakyat Syria berpegang teguh dengan ketentuan Allah.

Katanya, mereka juga menerima setiap bencana yang terjadi dengan keredaan dan beranggapan bahawa itu semua adalah kehendak Tuhan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2018 @ 5:22 AM