LAPORAN portal berita Harian Metro, sebelum ini.
LAPORAN portal berita Harian Metro, sebelum ini.
AFP

SUAMI isteri ditahan di Indonesia, semalam atas tuduhan pemerdagangan manusia berhubung kematian pembantu rumah Adelina, 20, yang dipercayai didera majikannya di Malaysia.

Menurut polis, mereka yang tidak didedahkan identiti itu adalah ejen pencari pekerja yang menggunakan dokumen palsu untuk menghantar Adelina ke Malaysia pada 2015.

Menurut ibu mangsa, Adelina hilang dari kampung mereka di wilayah Nusa Tenggara Timur selepas keluarganya menolak tawaran kerja untuk anaknya.

Adelina meninggal dunia di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang, sehari selepas diselamatkan dari rumah majikannya.

Kepala dan wajahnya bengkak, manakala tangan serta kakinya dipenuhi luka.

Menurut polis Indonesia, pihaknya masih mengesan seorang lagi suspek.

Dua beradik dan ibu mereka yang juga majikan Adelina sudah ditahan di Malaysia.

Sementara itu, ibu Adelina, Yohana Banunaek memberitahu AFP, seorang lelaki tidak dikenali datang ke perkampungan mereka menawarkan kerja kepada anaknya di Malaysia, namun mereka menolaknya.

“Dia kemudian datang lagi dengan pelbagai dokumen palsu dan pada hari berikutnya, Adelina hilang.

“Kami percaya dia mengikut lelaki itu. Dokumen palsu terbabit menyatakan Adelina berusia enam tahun lebih tua,” katanya.

Sementara itu, pegawai Kementerian Luar Indonesia, Lalu Muhammad Iqbal berkata: “Kami menggesa Malaysia memastikan keadilan untuk Adelina dan pesalah dihukum dengan tegas.”

Maklumat pihak berkuasa Indonesia menunjukkan kira-kira 62 pekerja asing dari Nusa Tenggara Timur mati di Malaysia pada tahun lalu dengan kebanyakannya pekerja haram.

Berita berkaitan

Sambung reman dua beradik [METROTV]

Amah mati akibat hilang banyak darah

Selesaikan segera kes dera amah

[UPDATE] Amah Indonesia meninggal dunia [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2018 @ 11:13 PM