ELISYA Sandha
ELISYA Sandha
Rudy Imran Shamsudin

Pada awal pembabitan dalam dunia lakonan, Nur Elisya Mohd Faizal atau Elisya Sandha beberapa kali digandingan dengan kakaknya, Fasha Sandha.

Antara karya yang pernah dibintangi dua beradik ini ialah filem Anak Mami Nasi Kandar dan Badang.

Perkembangan itu membuatkan ramai berpendapat Elisya bertuah apabila mempunyai kakak yang bergelar bintang popular kerana dapat mengetengahkan bakatnya.

Membintangi sitkom pertama terbitan produksi FS Creative Sdn Bhd milik Fasha yang sudah selesai penggambaran baru-baru ini, tentu ramai bersetuju dengan pandangan itu.

Selain Elisya, sitkom berjudul Mamu Mami Gosip itu turut dibintangi Kazar Saisi, Delimawati dan Tauke Jambu.

Antara bintang jemputan ialah Anzalna Nasir, Amyza Aznan, Accapan, Imuda dan Fasha sendiri.

Ditanya mengenai ‘jalan mudah’ seperti yang diperkatakan ramai itu, Elisya menegaskan untuk bergelar pelakon dia melalui proses sama seperti anak seni lain.

“Cuma, sebagai adik kepada pelakon popular sudah tentu apabila digandingkan dengan kakak sendiri ia bonus buat saya. Kakak banyak mengajar saya untuk jadi pelakon yang baik dan berdisiplin.

“Saya beruntung kerana dapat belajar dengan kakak yang jauh lebih berpengalaman. Dia turut mendidik saya menjadi pelakon yang serius apabila bekerja. Bagaimanapun, tidak semua perkara dia ‘suap’ sebaliknya dia hanya memberikan laluan. Selebihnya saya berusaha sendiri,” katanya.

Menjelaskan mengenai pembabitannya sebagai antara pelakon utama dalam sitkom terbitan produksi milik Fasha, kata Elisya sudah tentu dia berbesar hati apatah lagi ini kali pertama kakaknya bergelar penerbit di bawah produksi sendiri.

BERSAMA Zarina Zainuddin.
BERSAMA Zarina Zainuddin.

“Apabila kakak menawarkan berlakon dalam Mamu Mami Gosip, saya terus setuju. Sebagai adik ini saja cara saya untuk menunjukkan sokongan atas usaha sulungnya itu. Kalau bukan adik-beradik yang membantu dan menyokong keluarga sendiri, siapa lagi?” katanya.

Elisya menjelaskan, meskipun beraksi dalam produksi milik kakak sendiri, dia tidak diberikan sebarang kelebihan atau menerima layanan lebih istimewa berbanding pelakon lain.

“Sepanjang membabitkan diri dalam sitkom ini, saya tetap kena marah jika melakukan kesalahan. Tiada istilah saya dapat layanan istimewa. Apabila berlakon kita bekerja dalam kumpulan dan saya perlu bekerja keras seperti pelakon lain. Jika saya tidak memberikan lakonan setara dengan pelakon lain, ia akan mencacatkan keseluruhan sitkom.

“Tambahan pula sepanjang penggambaran saya bergandingan dengan ramai pelakan senior dan ternama, jadi kenalah komited,” katanya.

Tegas Elisya, andai benar Fasha melebihkan dirinya sudah tentu sewaktu majlis tamat penggambaran dia akan menerima menerima hadiah penghargaan seperti pelakon paling bagus komitmen, pelakon berdisiplin dan sebagainya.

“Itu membuktikan pembabitan saya dinilai seperti artis lain. Saya sedar sebagai orang baru pasti ada banyak kelemahan dan tidak menerima sebarang hadiah sebagai penghargaan.

“Bagi saya hadiah paling bernilai adalah ilmu yang saya belajar daripada pelakon senior,” katanya.

Dalam Mamu Mami Gosip, Elisya memegang watak Juwita yang menetap di Pangsapuri Do Re Mi. Dia selalu berasakan dirinya bintang terkenal dan popular sedangkan dia hanyalah pelakon tambahan.

ANTARA babak dalam sitkom Mamu Mami Gosip.
ANTARA babak dalam sitkom Mamu Mami Gosip.

Hubungan dengan Haq

Keakraban Elisya dan anak pelakon dan penerbit Sheila Rusly iaitu Uzair Haqimy atau Haq bukan lagi rahsia. Malah mereka dilihat bersama hampir tiga tahun.

Namun, apabila ditanya mengenai perkembangan membabitkan hubungan itu, Elisya berkata dia menganggap Haq sebagai kawan baik.

“Kami sudah hampir tiga tahun berkawan dan sepanjang tempoh itu saya berasa sangat senang kerana boleh bercerita apa saja dengannya setiap kali bertemu.

“Haq pendengar yang baik. Dia sudi mendengar apa saja cerita dan masalah yang saya mahu luahkan,” katanya.

Cerita Elisya lagi, dia dan Haq boleh menjadi bertambah rapat kerana mereka berdua turut membina kerjaya dalam bidang sama.

“Seperti yang umum tahu, Haq kini turut bertindak selaku penerbit eksekutif produksi milik ibu bapanya. Disebabkan itu juga dia sangat memahami kerjaya saya.

“Kalau ada masalah timbul dan ada perkara yang saya mahu adukan, dia mudah faham.

Nasihat yang diberikan Haq juga sangat bagus. Kata-katanya menenangkan saya setiap kali berdepan masalah,” katanya.

Ditanya kemungkinan Haq memiliki kriteria teman lelaki yang dicari, pelakon bermata galak ini tidak menafikannya dan menegaskan jejaka berusia 22 tahun itu sangat budiman.

“Haq kawan yang baik dan sikap positifnya banyak mempengaruhi saya. Sebagai contoh, dia mahir berkomunikasi dan tahu banyak ilmu perhubungan awam.

“Selain berguru dengan kakak, saya juga belajar melalui Haq cara berinteraksi dengan orang dan memudahkan kerja walaupun berdepan situasi kurang menyenangkan,” katanya.

Kemungkin hubungan persahabatan terjalin akan bertukar cinta, kata Elisya dia tidak boleh mengulas perkara itu dan buat masa ini lebih selesa berkawan baik dengan jejaka itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2018 @ 3:17 AM