ANTARA penyanyi paling berpengaruh di dunia sekarang. FOTO Warner Music Malaysia
ANTARA penyanyi paling berpengaruh di dunia sekarang. FOTO Warner Music Malaysia
Georgie Joseph


Pencapaian penyanyi popular dunia dari Britain, Ed Sheeran dalam pasaran muzik antarabangsa sememangnya begitu luar biasa.

Kerja kerasnya berbaloi hingga berjaya menempatkan dirinya dalam kalangan penyanyi paling ‘besar’ di dunia ketika ini.

Buatlah apa saja lagu, penyanyi berusia 26 tahun ini pasti mampu menyentuh hati sesiapa jua. Magisnya sukar disangkal dan setiap kali mengadakan persembahan pasti tiketnya habis dijual.

Begitu selesa dengan kerjayanya, Ed tidak pernah berasa tergugat dengan kemunculan ramai penyanyi lain.

Malah, sejak bergelar penyanyi, dia tidak pernah rasa wujudnya persaingan.

“Apa yang saya belajar selama ini adalah persaingan itu sebenarnya tidak wujud. Kita hanya perlu buat hal sendiri dan lakukan sesuatu perkara itu sekali gus membanggakan diri sendiri.

“Persaingan cuma datang dalam bentuk kerja keras. Selagi kita bekerja keras, ia pasti akan membuahkan hasil dan begitu juga apa dirasakan sesiapa yang melihat usaha kita.

“Sebuah album yang baik datang daripada usaha terbaik seseorang,” katanya dalam temu bual bersama RAP beberapa jam sebelum konsertnya di Axiata Arena, Kuala Lumpur, Selasa lalu.

Ed juga sangat bangga dengan pencapaian rakan artis lain yang sebaris dengannya. Walaupun mereka juga tampil dengan kejayaan sendiri, tidak bermakna ia boleh membuatkan kedudukannya tergugat.

ED tidak mahu bersaing dengan sesiapa. FOTO Warner Music Malaysia
ED tidak mahu bersaing dengan sesiapa. FOTO Warner Music Malaysia

“Saya memiliki kumpulan peminat yang kuat sekarang. Rasanya saya tidak akan kehilangan peminat hanya kerana orang lain buat sesuatu yang lebih bagus. Terserah kepada peminat mahu beli album siapa, sama ada pemuzik lain atau saya atau mungkin kedua-duanya.

“Saya pernah lepak beberapa kali dengan Shawn Mendes. Dia memang sangat berbakat dan baik orangnya. Saya cukup bangga dengan pencapaiannya walaupun saya tiada kena-mengena dengan kejayaannya.

“Saya tidak pernah terfikir untuk bersaing dan mengatasinya atau menjadi jauh lebih baik daripadanya. Sebaliknya mungkin peminat dia adalah peminat saya juga dan kami sebenarnya berkongsi peminat sama,” katanya.

Tampil dengan identiti tersendiri, Ed juga tidak bercadang mengubah hala tuju muziknya.

Dia lebih selesa untuk terus melakukan apa yang disukainya tanpa perlu terpengaruh dengan orang lain.

“Saya rasa tidak perlu untuk mengubah apa yang saya lakukan selama ini. Saya cuma mahu melakukannya terus sebagaimana yang diinginkan dan terus menjadi matang seiring dengan perjalanan itu,” katanya.

Dalam pada itu, peminat Ed dikejutkan dengan berita kecederaan Ed baru-baru ini apabila dia terbabit dalam kemalangan di London ketika berbasikal.

Kejadian itu menyebabkan Ed mengalami kecederaan yang agak serius pada pergelangan tangan dan buku lalinya.

Disebabkan kemalangan itu, Ed terpaksa membatalkan beberapa konsertnya di Taipei, Osaka, Tokyo, Seoul dan Hong Kong.

Peminat Ed di sini beruntung apabila Ed sudah pulih dan tidak membatalkan konsertnya di Kuala Lumpur yang berlangsung Selasa lalu.

Menurut Ed, keadaannya kini bertambah baik.

“Sebenarnya kecederaan itu belum pulih sepenuhnya. Apapun, kesakitan itu tidak akan terasa setiap kali berada di pentas namun sebaik tamat persembahan, barulah rasa sakit itu menyerang kembali.

“Apa-apa pun saya baik-baik saja sekarang ini,” katanya.

Penonton lamar kekasih di konsert Ed

Konsert Ed Sheeran Live In Kuala Lumpur baru-baru ini yang dihadiri lebih 15,000 penonton menyaksikan ada beberapa penonton lelaki menggunakan kesempatan melamar kekasih mereka.

Difahamkan, ada enam lelaki berbuat demikian terutama ketika Ed menyanyikan dua lagu berhantunya iaitu Perfect dan Thinking Out Loud.

Ia sekali gus membuatkan Axiata Arena bergema dengan tepukan penonton terhadap individu terbabit.

Tidak dinafikan, Ed sememangnya masih memukau walaupun kelihatan letih disebabkan menjayakan konsert tanpa henti di pelbagai lokasi.

Seperti biasa, dia menakluk pentas dengan hanya bertemankan gitarnya dan ia sudah cukup memadai.

Apa yang pasti, penonton pelbagai lapisan umur, kaum dan negara hadir membuktikan penyanyi terbabit diminati bukan pada generasi tertentu saja.

Bahkan, sokongan yang diterimanya sepanjang hampir dua jam konsert itu sangat luar biasa.

PENULIS bersama Ed Sheeran.
PENULIS bersama Ed Sheeran.

Dari segi teknikal nyanyian, ada beberapa ketika dia juga seakan-akan tersasar daripada not asal. Bagaimanapun, ia langsung tidak mempengaruhi persembahannya kerana suaranya sudah cukup mengagumkan penonton.

Walaupun konsert hanya bermula jam 8.30 malam, seawal jam 7 malam, penonton sudah berasak-asak masuk untuk mengisi ruangan paling depan. Jelas terlihat masing-masing juga nampak begitu puas sewaktu tamat konsert berkenaan.

Pada malam itu, Ed turut mempersembahkan lagu Castle On The Hill, Eraser, The A Team, Don’t, New Man, Dive, Bloodstream, Happier, Galway Girl, Feeling Good, I See Fire, How Would You Feel (Paean), Photograph, Nancy Mulligan, Sing, Shape of You, dan You Need Me, I Don’t Need You.

Mendapat tajaan syarikat telekomunikasi U Mobile yang turut terbabit dengan acara muzikal besar termasuk konsert G-Dragon pada September lalu dan Good Vibes Festival, sebuah zon khas iaitu U Mobile Zone diwujudkan buat penonton bertuah.

Memandangkan jualan tiket konsert itu habis dalam masa singkat, U Mobile membuka peraduan di Instagram buat pelanggan bertuah mendapatkan tiket mereka.

Berada di zon tengah dan depan pentas, ternyata penonton zon itu bertuah apabila dapat menatap wajah Ed lebih dekat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2017 @ 3:07 AM