JAIS kesan 19 kumpulan ajaran sesat masih aktif di seluruh Selangor.
JAIS kesan 19 kumpulan ajaran sesat masih aktif di seluruh Selangor.
Siraj Mohd Zaini


SEBANYAK 19 kumpulan ajaran sesat dikesan masih aktif di seluruh Selangor oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sehingga kini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi Selangor Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, jumlah berkenaan adalah dari 39 ajaran sesat difatwakan sesat di negeri ini.

Menurutnya, tiga dari 19 kumpulan ajaran sesat terbabit dikesan mengancam ketenteraman awam dan negara.

"Antara ajaran boleh mengancam ketenteraman awam dan berbahaya kepada negara ialah Syiah, Milah Abraham dan Daesh.

"Ia boleh menimbulkan perpecahan di kalangan umat Islam dan menolak prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah," katanya ketika menjawab soalan Khasim Abdul Aziz (PAS-Lembah Jaya) ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Ahmad Yunus (PAS-Sijangkang) berkata, antara kumpulan ajaran sesat lain yang masih aktif ialah anti hadis, pemahaman liberalisme, Ajaran Islam Jemaah, Ajaran Negara Islam Indonesia, Al-Arqam, Ajaran Ilmu Hakikat Hassan Junid dan Aurat Islamiah Mahmud Haji Abdul Rahman.

Beliau berkata, sebanyak 246 tangkapan sudah dibuat sepanjang tahun ini kerana dipercayai terbabit dengan ajaran sesat .

"Jumlah berkenaan meningkat berbanding tahun lalu yang hanya membabitkan 31 tangkapan sahaja.

"Pada 2015, kita menahan 75 individu. Usaha membanteras ajaran sesat mengambil masa panjang dan memerlukan kerjasama semua pihak," katanya.

Katanya, isu ini bukan perkara mudah kerana kebanjiran pendatang asing ke negeri ini turut mendorong peningkatan jumlah pengikut ajaran sesat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2017 @ 12:23 PM