Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Akibat tergelincir ketika mencuci tandas di pejabat tempatnya bekerja, seorang ‘Mat Despatch’ atau penghantar surat kini menanggung derita tidak berupaya melakukan kerja berat termasuk mendukung anak kecilnya.

Malang berganda, kaki kiri Mohd Saiful Monek, 40, yang belum sembuh sepenuhnya akibat kejadian tahun lalu itu sekali lagi ditimpa kecederaan apabila motosikal ditunggangnya bertembung motosikal lain, baru-baru ini.

Mohd Saiful berkata, rentetan kejadian berkenaan, dia terpaksa menghantar dua anaknya iaitu Nurul Khadeeja, 9, yang masih tidak mampu berjalan akibat penyakit hidrosefalus (kepala besar) serta seorang lagi anak normal Nurul Kamelia, 7, ke kampung bekas ibu mentua di Mempaga, Bentong di Pahang.

“Saya rasa terlampau sedih sebab nak dukung anak pun sudah tak mampu. Malah, saya jalan bersendirian ke dapur rumah pun pernah terjatuh sebab cuba gagahkan diri.

“Selepas tergelincir di tandas pejabat, kaki kiri ini sudah dibedah. Tetapi, sejak itu keupayaan saya semakin lemah dan saya tetap cuba bekerja sebagai penghantar seperti biasa namun beberapa minggu lalu kemalangan pula bertembung dengan motosikal ketika waktu kerja.

“Menyedihkan lagi apabila permohonan saya untuk mendapatkan rumah awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ditolak. Ketika ini saya menyewa rumah RM450 sebulan,” katanya di rumah yang disewanya di Jalan Haji Salleh, Kampung Baru, di sini.

MOHD Saiful menunjukkan video anaknya untuk melepaskan rindu.
MOHD Saiful menunjukkan video anaknya untuk melepaskan rindu.

Menurutnya, sejak sakit dia berasa sukar dengan hanya menerima gaji asas RM1,600 sebulan termasuk kos sewa rumahnya itu dan menghantar perbelanjaan RM850 sebulan kepada dua anak termasuk seorang orang kurang upaya (OKU) menerusi bekas isterinya.

Ketika ditemui Harian Metro, dia baru pulang menjalani pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan mendapat tambahan cuti sakit selama dua minggu.

“Saya risau dan takut kena buang kerja kerana cuti sakit panjang. Namun doktor di hospital memberitahu memang saya tidak berupaya untuk pergi bekerja.

“Apa pun, ini pesan saya untuk anak-anak. Baba (panggilan Mohd Saiful) sentiasa berdoa semoga sihat semula dan dapat menjaga Ija (Nurul Khadeeja) dan Yaya (Nurul Kamelia) seperti dulu.

“Maafkan baba,” katanya sambil tersedu-sedu menunjukkan video anak-anaknya kepada wartawan dan memberitahu gambar dan video itulah untuk melepaskan rindu.

Bagi orang ramai yang ingin membantu boleh hubungi Mohd Saiful di talian 019 299 1015 atau salurkan kepada nombor akaun Maybank 164810031077 atas nama beliau.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2017 @ 6:23 AM
MOHD Saiful  yang kemalangan motosikal dan kecederaan lutut memohon rayuan perumahan DBKL.
MOHD Saiful yang kemalangan motosikal dan kecederaan lutut memohon rayuan perumahan DBKL.