SHUYOU mampu mengesan kerosakan sesebuah motosikal dengan mendengar bunyi enjin dan menyentuhnya. FOTO  Agensi
SHUYOU mampu mengesan kerosakan sesebuah motosikal dengan mendengar bunyi enjin dan menyentuhnya. FOTO Agensi
Agensi

Yibin, China: Zhu Shuyou yang berusia 60 tahun, buta sejak bayi lagi tetapi dengan kecekalan dia mampu belajar sendiri untuk membaiki basikal dan motosikal.

Selama 30 tahun, Shuyou mengusahakan sebuah bengkel membaiki motosikal di kampungnya dan hanya mengenakan bayaran untuk alat ganti dan caj perkhidmatan sebanyak 10 peratus.

Walaupun Shuyou tidak boleh melihat, dia mampu mengenal pasti kerosakan hampir semua jenis motosikal dengan menyentuh dan mendengar bunyi enjin.

Dia juga mempunyai ramai pelanggan kerana kecekapannya membaiki motosikal dan bayaran yang murah.

Ibu Shuyou memberitahu, anaknya buta ketika berusia enam bulan akibat jangkitan kuman pada otak.

Kerana kecacatan itu, Shuyou tidak pernah pergi ke sekolah untuk belajar membaca dan mengira.

Bakat Shuyou dikesan apabila dia diberi sebuah basikal yang rosak. Dia kemudian meleraikan setiap bahagian basikal itu dan memasangnya semula.

Lama kelamaan, Shuyou mampu mengesan bahagian yang rosak dan membaiki basikal.

Dengan hanya membaiki motosikal, Shuyou mampu membina rumah untuk ibunya yang berusia 84 tahun dan membayar duit muka untuk membeli apartmen anak lelakinya di bandar.

Kelebihan yang dimilikinya tidak pernah menjadikan Shuyou bangga, malah dia memberitahu wartawan apa yang diperolehnya pada hari ini adalah hasil usahanya sendiri.

“Saya tidak pernah merasakan saya lebih hebat daripada orang lain.

“Saya belajar secara sendiri dan memperoleh kehidupan yang baik seperti orang lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2017 @ 7:47 AM