HAFIZ Hamidun. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
HAFIZ Hamidun. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Sudirman Mohd Tahir


Kemelut rumah tangga penyanyi Hafiz Hamidun dan Siti Arifah Amin atau Joy Revfa menjadi topik hangat pengguna laman sosial.

Sejak isu membabitkan status perkahwinan pasangan itu dibangkitkan pelbagai spekulasi timbul sehingga memaksa mereka mengadakan sidang media.

Pada masa sama, Hafiz yang dikenali dengan lagu ketuhanan dan zikir diselar mencalarkan imej Islamik dibawa.

Bagi Hafiz, 33, tidak ada apa perlu dimalukan atau berasa kesal kerana dia tidak pernah minta perkara itu terjadi.

“Kenapa perlu wujud tanggapan itu? Saya sendiri tidak pernah terfikir mengenainya. Kalau tahu perkara ini akan terjadi, dari awal lagi saya mengelak. Namun, sebagai manusia biasa ia di luar kemampuan saya. Malah, tiada siapa yang inginkan masalah dalam hidup mereka.

“Bagi saya, masalah ini bukan membabitkan satu pihak saja. Ada beberapa pihak lain lagi. Jadi, terpulang kepada masyarakat untuk menilainya. Kalau ada yang berfikiran positif maka baiklah. Begitu juga sebaliknya.

“Apa yang pasti, sepanjang masalah ini timbul saya sentiasa cuba perbaiki keadaan. Kalau boleh saya nak perkara ini segera berakhir. Banyak lagi perkara lain saya perlu fikir dan lakukan,” katanya.

Namun, Hafiz yang pernah menganggotai kumpulan nasyid UNIC sentiasa optimis masalah dihadapi bakal berakhir dengan baik.

Paling penting, Hafiz tidak sesekali membiarkan masalah itu menjejaskan rutin hariannya.

“Saya tak pernah rasa hilang semangat. Walau apa pun kata-kata dan kritikan dilemparkan, saya tetap berfikiran positif. Saya sedaya upaya mengelak rasa sedih dan putus asa.

“Bagi saya ada banyak perkara lain lebih penting dalam hidup ini terutama hubungan dengan keluarga dan teman rapat. Mereka sentiasa bersama saya dalam apa juga situasi.

“Kawan pun tidak pernah menyibuk tanya itu ini. Sekiranya lepak minum, tidak pernah sekali pun isu ini dibangkitkan. Saya sangat hargai keterbukaan mereka,” katanya.

Menurut Hafiz, apa yang berlaku tidak sedikit pun mengundang kebenciannya terhadap mana-mana individu.

Malah, dia sentiasa berfikiran rasional sebelum melakukan sesuatu.

“Ramai menganggap saya marah dan benci individu tertentu. Kalau nak tahu, tidak ada sikit pun rasa itu.

“Jika ada perasaan sayang sekali pun, masalah ini tetap berlaku kerana sejak awal lagi tidak diselesaikan dengan betul. Disebabkan itu, saya perlu asingkan segala perasaan,” katanya.

Ramai nak berkawan

Hafiz tidak ketinggalan berkongsi ramai wanita mula mengintainya dengan menghulurkan salam perkenalan dan menyatakan hasrat untuk berkawan.

“Saya menganggap mereka bergurau. Macam saya katakan, fokus utama sekarang adalah menyelesaikan masalah ini dahulu. Selepas itu, baru saya boleh fikir langkah seterusnya. Apabila membabitkan soal hubungan, sabar dulu.

“Buat masa ini belum terfikir ke arah itu. Namun saya tidak trauma atau fobia untuk menjalin hubungan dan berkahwin lagi satu hari nanti. Cuma, selepas ini saya perlu lebih berhati-hati. Paling penting, jangan tergesa-gesa.

“Insya-Allah, jika masalah ini selesai saya ingin mulakan dengan sesuatu yang lebih segar. Kalau boleh saya tidak mahu ada kaitan dengan orang industri atau bidang sama. Namun, saya tidak boleh menolak jodoh. Saya akan menjalani kehidupan seperti orang lain dan ikut aturan yang sudah ditetapkan Ilahi,” katanya.

Bergelar jutawan

Selain berjaya sebagai penyanyi, Hafiz turut menempa kejayaan dalam dunia perniagaan.

Oleh itu, dia yang kini bergelar jutawan sentiasa berusaha mencari peluang baru untuk terus berjaya.

“Alhamdulillah, bisnes saya berjaya sejak empat tahun lalu. Saya bersyukur dengan apa yang ada dalam genggaman. Namun, semua itu tidak kekal kerana saya masih menggunakannya sebagai modal dalam perniagaan.

“Orang panggil saya jutawan tetapi tidak pernah anggap diri sebegitu. Saya masih sama seperti dahulu, tiada apa yang berubah kecuali saiz badan.

“Kalau bercakap bab cita-cita, saya memang nak jadi kaya dan ada harta. Bukan untuk diri sendiri tetapi ingin membantu mereka yang memerlukan serta berzakat,” katanya.

Beralih perkembangan karier seni, Hafiz bakal muncul dengan single bersama Azmi daripada kumpulan Caliph Buskers.

Selain itu, Hafiz juga aktif menghasilkan lagu untuk rakan artis termasuk Liza Hanim, Haqiem Rusli, Anis Al Idrus dan Mirwana.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2017 @ 6:31 AM