TIGA ahli geng basikal lajak berlumba sesama sendiri di jalan masuk ke Taman Rekreasi Pantai Robina, Teluk Air Tawar, Butterworth.
TIGA ahli geng basikal lajak berlumba sesama sendiri di jalan masuk ke Taman Rekreasi Pantai Robina, Teluk Air Tawar, Butterworth.
Zulfa Mohamad


Butterworth: Kemalangan yang meragut lapan nyawa ahli geng basikal lajak atau basikal ‘nyamuk’ di Johor Bahru Februari lalu nyata tidak menyedarkan kumpulan remaja, di sini, apabila semakin ramai dikesan mengikut jejak mereka dengan mengubah suaian basikal secara ekstrem.

Taman Rekreasi Pantai Robina, Teluk Air Tawar, dekat sini, menjadi antara lokasi dikesan tumpuan ahli geng berkenaan membabitkan remaja berusia 10 hingga 12 tahun menunggang basikal yang diubah suai.

Mereka bukan saja berkumpul pada hujung minggu seperti geng mat rempit, malah ada kalanya berlumba sesama sendiri di laluan yang digunakan orang awam.

Ketika ini, geng basikal lajak popular di selatan negara ialah Tentera Fly JB dan Kaki Ride Kulai manakala di bahagian utara, geng berkenaan mula aktif sejak beberapa bulan lalu.

Walaupun tidak menjadi kesalahan, namun gelagat remaja berkenaan mengganggu lalu lintas, selain mengundang risiko kemalangan kerana menggunakan laluan awam.

Kebanyakan basikal diubah suai secara ekstrem dan ada antara remaja berkenaan bergaya ala Superman seperti mat rempit.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Prai Utara Superintendan Abd Aziz Daud ketika mengulas isu berkenaan berkata, pada dasarnya tidak menjadi kesalahan jika remaja berkenaan sekadar berbasikal di kawasan awam, tetapi ia mengundang bahaya jika mereka berbasikal secara berkumpulan di lebuh raya.

Katanya, basikal lajak atau apa saja basikal yang digunakan untuk rekreasi tidak boleh digunakan untuk tujuan lain sehingga mengganggu lalu lintas.

“Jika gelagat remaja berkenaan tidak mengganggu lalu lintas ia tidak menjadi kesalahan, tetapi tindakan boleh diambil jika ia mengganggu orang awam seperti di lebuh raya atau tempat rekreasi.

“Soalnya, sebarang risiko kemalangan di bawah tanggungjawab sendiri jika mereka menunggang basikal secara berbahaya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2017 @ 9:03 AM