UMMU Farah (dua kiri) bersama pengiring pendaki dari Malaysia selamat mengibarkan Jalur Gemilang di puncak Gunung Elbrus. FOTO ihsan Kembara Srikandi Prihatin
UMMU Farah (dua kiri) bersama pengiring pendaki dari Malaysia selamat mengibarkan Jalur Gemilang di puncak Gunung Elbrus. FOTO ihsan Kembara Srikandi Prihatin
Fairul Asmaini Mohd Pilus


CUACA buruk tidak menghalang wakil tunggal pasukan Kembara Srikandi Prihatin (KSP) untuk mengibarkan Jalur Gemilang di puncak tertinggi Eropah, Gunung Elbrus di Russia.

Pengarah Program KSP, Ummu Farah Haidar Zulkifli, yang juga seorang daripada enam pendaki pasukan berjaya tiba di puncak setinggi 5,642 meter dari paras laut pada 12.15 tengah hari waktu Russia, semalam (5.15 petang waktu Malaysia).

Persatuan Kembara Negara (PKN) dalam kenyataannya berkata, kejayaan itu begitu bermakna bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2017 ke-60.

Timbalan Presiden PKN yang juga Koordinator Program Ahmad Fakhri Abu Samah berkata, kejayaan di puncak Elbrus juga diraikan bersama enam pendaki lain dari Kumpulan ONE yang juga peserta program Negaraku, inisiatif di bawah Pejabat Perdana Menteri.

Kata Ahmad Fakhri, semua pendaki membuat percubaan pendakian ke puncak Gunung Elbrus pada 31 Ogos baru-baru ini namun terpaksa berpatah balik akibat cuaca buruk.

"Pasukan KSP kemudian membuat percubaan pendakian kali kedua bermula jam 2 pagi semalam (2 September) dalam keadaan angin kuat dan suhu mencecah -15 di bawah paras beku.

"Namun pada ketinggian 5,000 meter (m) hingga 5,150 m, lima pendaki tidak mampu meneruskan pendakian atas faktor kesejukan melampau.

"Ummu Farah bagaimanapun berjaya melepasi halangan dan meneruskan pendakian ke puncak," katanya.

UMMU Farah mengibarkan Jalur Gemilang di puncak Gunung Elbrus. FOTO ihsan Kembara Srikandi Prihatin
UMMU Farah mengibarkan Jalur Gemilang di puncak Gunung Elbrus. FOTO ihsan Kembara Srikandi Prihatin

Menurut Ahmad Fakhri lagi, perancangan pendakian ke puncak adalah mengambil kira pelbagai faktor dan dugaan yang pasukan hadapi seperti angin pusar, ribut salji dan bencana alam pagi semalam yang menyebabkan kawasan di sekitar pergunungan Elbrus terputus hubungan, bekalan makanan dan sumber elektrik.

"Semua pendaki selamat turun ke Kem Barrels Hut pada 4.15 petang dan sejam kemudian kami dibawa turun ke Perkampungan Terskol melalui Azau menggunakan trak askar.

"Difahamkan, semua pelancong luar termasuk 16 pendaki dari Malaysia akan dibawa keluar dari Terskol ini menggunakan pengangkutan udara yang disediakan pihak berkuasa Russia ke kawasan selamat hari ini," katanya.

Berita berkaitan:

Misi pindah 19 orang kita di Russia

Cuaca buruk halang takluk Gunung Elbrus

Terpaksa patah balik

Misi besar 6 wanita

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2017 @ 1:52 PM