UDIN (berdiri) ketika melakukan rondaan di Sungai Rajang, Sarawak pada 1964. Gambar kecil, Udin memakai pingat diterima ketika berkhidmat. FOTO Amran Yahya
UDIN (berdiri) ketika melakukan rondaan di Sungai Rajang, Sarawak pada 1964. Gambar kecil, Udin memakai pingat diterima ketika berkhidmat. FOTO Amran Yahya
Amran Yahya


Kuala Pilah: “Dalam pertempuran, ada pasukan kami terkorban, tetapi paling ramai askar komunis dan mayat mereka bergelimpang atas tanah,” kata Udin Mahmud, 83, bekas tentera menceritakan saat menghadapi serangan komunis di Raub, Pahang.

Udin yang bersara dengan pangkat Pegawai Waran I berkata, pertempuran pertama berlaku pada 1954 ketika dia serta platunnya terdiri 40 orang ditugaskan dalam operasi di Kampung Ulu Atok, Raub.

“Ketika memasuki hutan, pergerakan kami diintai terlebih dahulu dan platun saya diserang hendap pengganas komunis.

“Platun saya diketuai Sarjan Baharuddin menjadi kucar-kacir sebaik kami dibedil bertalu-talu.

“Bagaimanapun, kami mengikut arahan Sarjan Baharudin sebelum membalas tembakan ke arah musuh. Saya berjaya membunuh beberapa orang daripada mereka,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Seri Pelangai, di sini.

Katanya, musnah dan bunuh pengganas komunis adalah prinsip yang dipegangnya ketika bertugas di zaman darurat dari 1948 hingga 1960.

“Bertugas di Raub ibarat ‘menjual nyawa’ kerana ia kawasan hitam selain memiliki sebuah penempatan komunis yang hebat. Jika tersilap langkah, pasti nyawa melayang.

“Apa pun situasi, arahan ketua itu penting kerana mampu merangka strategi walaupun dalam keadaan bahaya,” katanya.

Selepas tamat latihan rekrut pada 1953 di Port Dickson, Udin ditugaskan bersama pasukan Batalion Ke-6 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang berpangkalan di Raub, Pahang.

Selain itu, Udin turut bercerita ketika pasukannya yang dipimpin Leftenan Zulkifli diserang hendap di Mengkuang, Pahang pada 1955.

“Ketika itu saya sedang menyediakan sarapan dan secara tiba-tiba kami ditembak musuh dalam keadaan tidak bersedia. Namun, saya dan rakan mengambil senjata membalas tembakan.

“Ketika inilah perasaan ‘musnah dan bunuh’ komunis itu tiba-tiba menjelma dalam jiwa saya. Terdetik juga di fikiran adakah saya akan mati, tetapi Allah masih sayang saya,” katanya Leftenan Zulkifli serta beberapa rakan lain terkorban dalam pertempuran itu.

Menurut Udin, dia juga pernah bertugas bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Congo selepas Malaysia merdeka.

“Bagaimanapun, selepas pulang dari Congo, saya dikerah ke Pontian, Johor pada 1965 ketika konfrontasi antara Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan Melayu Raya (Malaysia).

“Kami difahamkan lebih 100 orang TNI mendarat di Pontian menggunakan bot dan diberitakan juga ramai lagi TNI sedang berada di lautan dan menuju ke Malaysia.

“Ketika itu pasukan kami serta polis dikerah untuk menjaga sepanjang pantai dengan berlindung di sebalik pokok kelapa. Sebenarnya TNI berhajat untuk menawan puncak Gunung Ledang untuk dijadikan markas, tetapi mereka tewas di tangan pasukan keselamatan kita,” katanya.

Katanya lagi, dia pernah bertugas dan bertempur di Labis, Johor dan kemudian ke Singapura sebelum menamatkan perkhidmatan selama 23 tahun dan pasukan terakhirnya ialah Batalion Ke 2 Rejimen Renjer Diraja (RRD) yang berpangkalan di Kem Wardieburn, Kuala Lumpur pada 1965.

Dia kini aktif bersama Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Juasseh dan memegang jawatan sebagai Pengerusi Tetap selain aktif memberi ceramah dan motivasi berhubung darurat dan kemerdekaan negara di sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2017 @ 4:47 AM